Friday, December 31, 2010

Joyride 2011



Tergaru-garu amat bila mata terpandang roda "Ferris Wheel" di kejauhan sudut di Shah Alam. Dalam kaki menekan minyak mencuba-cuba untuk tiba ke rumah dalam saki-baki minit-minit terakhir perlawanan bola sepak "final" pertama di Bukit Jalil, hati terusik dengan gambaran-gambaran "sarkis" yang old-school. Jagung mentega, pop-corn, cotton-candy dan banyak lagi.

Berhari-hari pula hasrat itu terpaksa kupendamkan sehinggalah malam Jumaat lalu, kucapai kamera lalu bergegas bersama keluarga kecil ku tiba di Shah Alam.

Sampai di pinggir Stadium Shah Alam itu, lega benar hati kerana tiba juga ke situ. Berpuluh-puluh pula orang mengusung camera DSLR yang ada di antaranya, lensanya sahaja sudah mencecah seperlapan harga sebuah kereta. Terus kurakam gambar "Ferris Wheel" sebelum mengintai ke daerah rumah hantu dan barisan permainan yang hampir pasti mengalahkan pelanggan...namun orang berbaris juga mencuba nasib atau mencuba-cuba menayang kemahiran di hadapan buah hati. Teringat bisik arwah Dr Arif (guru gamelanku) "kitapun pernah muda Cik Nasir" katanya menjeling nakal.

Segalanya "old-school" sebagai yang kubayangkan. Dari penjaga setiap permainan sehinggalah susunan dan tarikan-tarikannya. Kutemankan anakku bermain kapal terbang hidraulik. Yang menjaga "joyride" kami mengutip token, mengemaskan palang keselamatan dan menolak pesawat dengan rokok terkepit di bibir dan jemari.

Itulah warna-warna kegembiraan yang sudah hampir pupus dek arus kemodenan. Bila sesekali terpeluang melihat kembali kisah dan cara-cara yang lama, tersenyum puas pula sendirian sambil hati memujuk "taklah tua sangat aku!" kerana cara yang kita suka masih terpakai di masa kini walaupun sudah bergelar "antik". Aku balik dengan senyuman puas. Hampir-hampir 30 snap yang dapat aku sempurnakan...sambil mengurut-ngurut dahi (pening menaiki kapal hidraulik) dan memicit-micit pinggang (akibat penat berjalan)..."taklah tua sangat" sambil mata redup mengalah pada malam.

Tuesday, December 7, 2010

Gurindam Buat Ida



Sampai juga aku ke Baling. Tiba di sana, rasanya hampir sekampung sudah mengenali aku. nampak sangat IDA sudah berkisah tentang Cik Nasir. Segan pula aku dibuatnya. Hujan renyai dari awal sempadan Kedah sehinggalah tiba di Baling membuatkan sasaran tiba sebelum jam 12:00 sedikit tersasar. Tiba, aku terus dihidang makanan kampung. Terbuka sungguh selera bila terhidang ulam dan sambal belacan. Tak payah susah-susah berlauk serba mahal. Ikhlasnya terasa. Cukup terasa.

Perjalanan ke rumah IDA adalah satu kemestian yang aku azamkan. Aku dan IDA punya sesuatu yang di luar perhubungan seorang ketua dan rakan kerja. IDA membuat banyak "sakti" tanpa banyak merungut, menghabiskan sisa kerja yang bukanpun tanggungjawabnya dan mengajar aku tentang sabar yang disimpan kemas di dalam dada walaupun diinjak dan pijak oleh orang lain. Mungkin juga budak-budak aku ini segan kerana aku ini orang yang cukup berdiam bila diajak berkonfrantasi. Lalu mereka juga jadi lebih penyabar.

Perjalanan itu suatu perjalanan yang aku mestikan pada diriku. Dalam perjalanan itu aku mencari pelbagai makna malah menyoal diriku sendiri tentang seaneka tandatanya yang tidak dapat kuungkai di sini, di Kuala Lumpur. Tiada siapa yang faham rasanya;

"Hendak mati di hujung kuku, hendak berkubur di tapak tangan": begitulah "cinta" yang dialun di dalam lagu Gurindam Jiwa itu. Kusisip hadiah itu pada IDA kerana cintanya dan ASRI tidak mungkin dapat diukir dengan kata-kata. Dia baru memulakan perjalanan panjangnya.

Aku juga. Kita juga!

Ketika bersalaman untuk pulang, berat rasa hati. Terasa kemesraan itu jujur dan indah. Seorang makcik tua tiba-tiba menghulur tangan lalu bertanya "Encik Nasir dah nak balik? Tak tunggu esok ka?" tanyanya lagi. Aku tidak kenal dia. Aku hanya kenal IDA. Aku tersenyum lalu kuingat wajah tua itu.

Di sebalik senyumannya; Siapa yang Tahu?


Bila Mentari Tergelincir?


Tanya kalian..."mana sajaknya?" lalu jawabku "sedang kuusahakan".

Rangkanya sudah kususun namun kata-katanya belum benar benar lunas. Tentang Sang mentari yang tergelincir di hujung senja, di hujung laut hilang di sempadan lautan jatuh entah ke mana?

Monday, December 6, 2010

Bila Sita Berlagu?



Lucu juga bila sesekali aku mengubah status Instant Messaging ku, ianya jadi bahan berbalas-balas tanya pula.

Terbaru, avatar nya kutukarkan kepada gambar Sita Dewi dalam bentuk bayangan wayang kulit lalu kunamakan status ku "Bila Sita Dewi Berlagu, Seri Rama Bergaru".

Tidakpun lama, bertalu-talu rakan-rakan mula bertanya: a) Si Sita menyanyi lagu apa?, b) Kenapa Si Sita perlu menyanyi?, c) Bagaimana lagu si Sita membuatkan Seri Rama gatal-gatal?, d) Apa jadi dengan si Seri Rama akhirnya? ....dan pelbagai lagi. Jawapan aku pelbagai dan mungkin berbeza-beza mengikut si penanya.

Jawabku sekali; Sita menyanyi lagu Iwan: "Memori Daun Keladi" [memomok lagu "Memori Daun Pisang"] dan kerana itu lagu itu "gatal-gatal" lalu terpalit ke Seri Rama.

Jawabku lagi; Sita menyanyi lagu "Langgam Pak Dogol" oleh M.Nasir; kerana itu Seri Rama yang sedang berperang "tergaru-garu" hatinya rindukan si Sita nan jauh.

Jawabku yang lain; Bila Seri Rama sudah mintak digaru (kerana gatal), manalah ada penawar lain selain tetap "digaru"..itu metafora mudah sebetulnya. Yang gatal harus digaru-garu.

Apapun, begitulah indahnya seloka di dalam bahasa. Kias yang mudah boleh membawa 1001 tafsir dan tamsil. Baik mengusik, berseloroh, menyindir, memberi isyarat..semuanya tiba-tiba jadi indah dan membawa senyuman. Terima kasih Sita!

Lalu kubiarkan Sita terus berlagu..."Rindu menikan dek cinta Sita, Hilang resah hilang sisa Amarah, Bongkar akar bongkar mimpi Suralaya, Ajak menung di bawah panji Milwana, Apa tersemat di sebalik perintah..."

[nota gambar: usikanku buat seorang teman di pejabat]

LITTLE GIRL

While compiling a material for a friend who wishes to thank her father, I stumbled upon this "never-before-heard" song from YouTube. Simply titled "Little Child", it signify how a daughter (a child) is with 1001 questions and they see the world with true eyes.

The father tried to answer them with the best truest answers....and we don't have all the perfect answer. It is sad when we have to hide some disheartening facts just to protect them from the bitter reality....while a child start to learn that the world is all unjust and cruel.

The compilation is ready but it suddenly becomes a very sad affairs.

QARAT

KARAT: "Everyone must have been somebody's loved one once"

Bila sudah "berkarat" sebegini, entah siapa lagi yang mahu mengaku kawan apa lagi berganding berdamping.

Tinggallah si karat menumpang panas dipinggir pagar orang..."entah-entah esok lusa sampailah ajal" pujuknya pada hati. Tiada jalan ke hadapan lagi, cuma menghitung saat-saat itu.

Bisik pagar berkarat pada sang kucing "jangan khuatir, bila engkau pergi, kau akan masuk ke syurga kucing. Ku dengar di sana makananmu sedap-sedap dan tidak putus-putus. Tuhan akan menyayangiMU lebih dari Nabi Muhammad menjaga nenek moyang mu sekian lama".

"Aku belum ketentuan lagi nasibnya. Entah esok lusa dirembat sang penagih dadah lalu dijual, dilebur, dicat semula jadi cantik...untuk akhirnya berkarat kembali"

Nama ku JOKO!

Pelajar cemerlang selesa guna nota sendiri

KUALA LUMPUR: Menyediakan nota sendiri berbanding bergantung kepada nota disediakan pensyarah menjadi resepi kejayaan Suhendro Hardiansyah Sairun sehingga dinobatkan sebagai pelajar cemerlang keseluruhan pada majlis konvokesyen Kolej Universiti Teknologi Antarabangsa Twintech (Twintech) di sini, semalam.

Suhendro, 24, berkata dia lebih selesa merujuk kepada nota yang dibuat sendiri semasa di dalam bilik kuliah kerana ia dapat disediakan dalam bentuk lebih difahami.
“Semasa pensyarah memberi tunjuk ajar, saya akan menyalin apa yang diucapkannya berbanding merujuk kepada nota disediakan.


“Saya kemudian akan membuat nota yang lebih ringkas dan mudah difahami selepas membuat perbandingan antara nota yang disalin di bilik kuliah dengan nota disediakan pensyarah,” kata Sarjana Muda Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina dan Seni Bina itu.

Dia yang memperolehi purata gred kumulatif (CGPA) 3.91 berkata, dengan kaedah itu dia lebih faham serta mampu menyediakan nota yang menyeronokkan dengan cara sendiri.
Pelajar cemerlang Fakulti Perniagaan dan Kewangan, Suryani Tarnoh, 23, berkata keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang kurang memberangsangkan menjadi faktor utama untuk dia berusaha bersungguh-sungguh di Twintech.

“Saya amat berpuas hati kerana dapat menebus keputusan STPM dulu. Di sini, untuk memahami apa yang dipelajari saya akan membuat nota khusus dan sering bertanya pensyarah terutama ketika hampir peperiksaan,” katanya.
Pelajar dari Si Chuan, China, Lei Qian, 23, yang dinobat sebagai pelajar cemerlang Fakulti Muzik dan Seni Persembahan pula berkata, dia terpaksa berusaha keras kerana suasana pembelajaran yang berbeza antara Malaysia dan China.

“Saya perlu memperbaiki penggunaan bahasa Inggeris saya selain memahami kaedah pembelajaran di sini. Namun ia sesuatu yang menyeronokkan dan saya amat mencintai muzik,” katanya.

Wednesday, November 24, 2010

Aramaitee

"Aku hidup susah, tapi kau harus hidup senang".

Itu tegas ayahnya setiap kali meransangnya untuk bangkit dan terus maju. Ayahnya seorang bekas pekerja lombong tembaga. Apabila kegawatan ekonomi melanda sekitar 2001, lombong turut ditutup lalu ayahnya bertani padi dan hasilan kebun untuk membesarkannya sekeluarga. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Ranau 01 sebelum ke Sekolah Menengah Kebangsaan Mat Salleh, Ranau. Beliau terus mencari arah hidup untuk keluar dari kemelut kesempitan.

Dia menyertai Institut Kemahiran MARA Sabah mengambil jurusan Teknologi Baik Pulih Badan Kenderaan.

Pujuk ibunya " Bersyukur walau hidup susah, jangan terbiasa dimanja-manja. Teruskan berlari walau tidak dibantu".

Si Ibu juga tidak duduk diam melihat ayah membanting tulang. Ibu turun menjual kuih membantu melengkapkan sesuap nasi untuk anak-anak.Pada 2006, nama beliau telah dianjurkan oleh MARA untuk mengikuti pengajian Higher National Diploma di TWINTECH. Meski pada awalnya beliau nekad mencuba nasib di jurusan Mechanical Engineering, namun setelah rundingcara dengan kauselor akademik TWINTECH, beliau dilihat punyai potensi dan bakat yang tinggi di dalam arena Quantity Surveying.

Semester 01 adalah perang paling besarnya . Namun azamnya tinggi. Pesannya pada diri "aku tak mampu untuk gagal atau mengulang...lalu aku harus lulus dan cemerlang". Kesungguhan ini dihidu pensyarah-pensyarah di awal semesternya kerana mereka memahami bahawa dia tidak mempunyai asas yang kuat untuk jurusannya. Dia digilap dengan kerja lebih bagi mempastikan dia berdiri sama tinggi dengan rakan-rakan yang lain.


Dia malu melihat kesungguhan pensyarah-pensyarahnya ini kerana terasa perhatian yang diberikan membebankan mereka namun dia tekad membuang jauh-jauh rasa malu itu. Dia memegang rahsia yang cukup mudah. Dia tidak gemar membawa buku teks dan bergantung kepadanya. a) Masuk ke kelas, b) dengar syarahan dan; c) buat nota sendiri. Buku teks hanya sebagai perbandingan dan bacaan pengkayaan sahaja. Dia percaya, jika fokus di kelas, sudah cukup untuk memahami majoriti pelajaran.Resipinya lagi; belajar perlu ikhlas. Jangan terlalu ghairah mahu lulus tetapi sebaliknya belajarlah untuk faham. Bila faham, ianya akan kekal selama-lamanya.

Kesungguhan menuntut ilmu diseimbangkannya dengan aktiviti ko-kurikulum. Merupakan di antara anggota Jawatankuasa Eksekutif Majlis Perwakilan Pelajar TWINTECH memegang Portfolio Kebudayaan & kesenian, mengepalai pelbagai aktiviti gergasi anjuran Persatuan Quantity Surveying Faculty termasuk IUCTT Family Day, Kempen mengumpul bantuan Buat Gaza, Sambutan Isra’ Mikraj peringkat Universiti, Kunjungan ke Kompleks Penyayang Bakti Bandar Sri Damansara, Superfriends : Manifestasi bakat music TWINTECH serta banyak lagi.

Beliau yang cenderung dan berbakat seni music pernah bergiat menyertai Battle of the Bands Sabah Open, Celcom battle of the Bands, Sabah dengan pencapaian terbaik mendapat tempat ke-dua bagi keseluruhan Sabah. Selain itu, beliau turut giat menyertai pelbagai “gig” di sekitar aktiviti anjuran TWINTECH malah juga di Sabah.

  1. Adalah lambang kegigihan seorang pelajar yang mahu membawa perubahan bukan sahaja pada dirinya, malah juga keluarga dan masyarakat.
  2. Mempamerkan bahawa beliau berani menilai diri di tengah-tengah perjalanan, mengukur keupayaan dan membetulkan arah agar sesuai dengan minat dan keupayaan sebenar.
  3. Membuktikan bahawa graduan boleh sahaja membawa keseimbangan di antara keazaman cemerlang di bilik darjah, malah menikmati kehidupan social di kampus melalui pelbagai aktiviti yang menggilap keupayaan komunikasi dan kepimpinan agar bersedia berfungsi di dalam masyarakat.
  4. Menyuntik semangat yang kian pupus; belajar untuk menikmati dan mempraktikkan ilmu...BUKANNYA belajar untuk sekadar cemerlang di atas kertas.




Tuesday, November 23, 2010

Jari Jariku (sakit semua)


Sehari-hari berjuang di luar, beban seberat dunia dipikul di atas bahu. Bila pulang ke rumah, kita mula mencari-cari penawar sakti.


Indahnya bila ada jemari-jemari halus yang mengelus-elus wajah. Jemari yang tak tahu erti kebencian lagi. Sakit-sakit kecil bila muka dicakar-cakar, hujung bibir disentap-sentap, cermin mata tua dipulas-pulas. kemuncaknya bila si dia membuka mulut dan mahu menggigit gigit hidung.


Agaknya itulah sakti hakiki. Bukan tentang cakar-cakar parti politik yang tiada sudah, atau soal-soal hak yang disentap-sentap, maruah yang dipulas-pulas atau realiti dunia yang menggigit-gigit.


Kalaulah boleh kupinjam, kubawa jemari halus itu ke pejabat...walau sehari?


[suatu monologue buat Amreena Rasyada]

Tuesday, October 5, 2010

LELUCHON PANDIR

Sehari ketika aku beraya di Kelantan, sedang menziarah salah seorang bapa saudara, anak saudara perempuanku mengadu perut memulas-mulas. Memang semenjak di dalam kereta lagi mukanya sudah berkerut-kerut menahan sakit.

Melihat dia masih memicit-micit tepi perutnya, Tok Cik lantas bertanya (dalam telo kelantannya) " gastric ko?" Jawab anak saudaraku "ya!".

Tok Cik yang memangnya seorang "dresser" bingkas bangun mencapai ubat gastric di dapur. Tok Cik membelek-belek arahan di tepi botol lalu menuang ubat putih itu ke sudu. Anak saudaraku terus minum...."keno 2 sudu" tambah Tok Cik lalu menuang untuk sudu kedua.

Anak saudaraku sekali lagi terus menghirup ubat di sudu. Baru sampai hampir ke mulut, tiba-tiba Tok Cik berkata sambil masih membelek-belek tepi botol lagi "Mari Tok Cik check bila mapuh nyo?"[Bila matinya?]. Sudu di tepi bibir terhenti...

Tok Cik pantas membetulkan "Tak! Tok Cik cari tarikh expire nyo!" memahami nada soalannya sebentar tadi. Riuh rendah rumah Tok Cik seketika. jawab anak saudaraku "ingatkan minum ubat ni nanti mati".

Demikianlah pentingnya menghabiskan ayat agar tiada salah faham. Bak kata P. Ramlee kepada Ibrahim Pendek dalam Ali Baba Bujang lapok "cakap biar terang".

Thursday, August 5, 2010

GELORA DI HATI SARA...

Selepas sebuah siri Melayu lakonan Haleeda arahan Mior Hashim Manap kira-kira 10 tahun lalu, aku tidak terpanggil untuk mengikuti mana-mana siri soap opera Melayu. Dalam siri yang aku terlupa judulnya (lagu temanya Bunga-Bunga Cinta oleh Misha Omar), Haleeda tampil di dalam percubaan lakonan paling awalnya sebaik selepas perceraian dengan Azman Adnan.

Mengejutkan apabila lakonannya terlalu bersahaja dan terlalu baik untuk seorang yang tidak punyai asas lakonan atau theater. Kepasrahan wataknya mengikutkan "gila" suaminya mencari erti kebahagiaan di luar perkahwinan membuatkan aku jadi terlalu simpati. Suami itu pilihan ibu bapanya...Haleeda mempamerkan senyuman paling tawar bila menyembunyikan sengsara perkahwinannya. Itu Haleeda yang membawa kisah gadis kampungan yang ditolok banding dengan wanita-wanita elit kota.

Tapi bila aku tertonton "Gelora di Hati Sara", Fauziah Latif membawa "facade" tidak kurang sengsaranya tapi di sebalik watak seorang wanita peguam professional. Kebetulannya, seperti Haleeda, Gee baru berpisah dan Gelora di Hati Sara (siri 01) merupakan percubaan lakonan terawalnya. Sekali lagi, hasilnya adalah lakonan yang terlalu bersahaja dan terlalu baik. Sehingga pagi tadi, teringin sahaja aku bertanya siapa acting coach yang digunakannya?

Aku menyeka air mata di episod malam tadi bila Sara menarik ibunya keluar dari bilik tidur Sara yang telah dijajah madu mudanya....bila dia "silent scream" lalu mengutip buku-bukunya yang bersepah di bilik tamu...bila dia berdiri di antara ayah mertuanya (Rahim Razali) yang remuk dihamun ibunya...Masih ada kasih sayang di matanya. Masih dalam hormatnya pada ayah mertuanya yang bermati-mati mengangkat "tidak kurang sedikitpun kasih sayang kami pada Sara".

Dalam drama Haleeda, pada episod akhirnya, Mior Hashim Manap membuat babak penghabisan hanya dengan satu shot. SATU SHOT! Hanya satu camera yang digunakan untuk satu babak yang begitu panjang...bagi menyerlahkan keupayaan dan penghayatan pelakon-pelakonnya. Ini bukanlah sesuatu yang asing bila Mior Hashim Manap terbiasa dengan teknik theater sebegitu melalui filem-filem Rahim Razali terutamanya ABANG. Terlalu banyak babak yang bergerak di atas satu shot dan tidak hairan juga kerana semua pendokong wataknya adalah penggiat teater yang tersohor di zaman masing-masing.

Begitulah aku ditemukan dengan 2 kebetulan dalam jarak lebih 10 tahun:

  1. Haleeda & Fauziah Latif
  2. Rahim Razali
  3. Mior Hashim Manap serta;
  4. satu GELORA yang tidak pernah tua walau zaman berubah




Wednesday, August 4, 2010

SOMETHING FOR DIN:

A serie of 10 quick "pantun" for a special friend DIN: Sometimes loves speak beyond what words can ever comprehend.

Tukang di anjung mengukir kekisi
Ibu di dapur buat anyaman
Sekali terpandang matamu KC
Muka yang ganas jadi bertaman

Pergi ke pekan belikan gambir
Ikan sungai disiang-siang
Malu ku ini hanya di bibir
Hati sudah berlagu riang

Budak bermain terlompat-lompat
Adik berjalan berkawan-kawan
Pandangan tuan penuh makrifat
Hati hamba sudah tertawan

Api sudah bertukar bara
Dibiar orang di pingggir laman
Serik hati dibiar lara
Semoga suri mahu meneman

Anak itik di atas titi
Ikan di sungai berburu-buru
semak samun kanan dan kiri
Laksamana Khairi tolong ke tepi...
Hamba ini jenis cemburu
Bila KC tuan hampiri

Megah pengantin di singgahsana
senyum simpul semanis gula
KC, hamba tidur tak lena
Tangan bersilang memangkah kepala

Abang ke laut mengutip karang
Sampan dikayuh berjaga-jaga
Hamba bahasa harta pun kurang
Hanya Mountain Bike boleh dibangga

Orang di pekan menjual cerut
Tembakau dibeli berkati-kati
Tidurlah sayang malam dah larut
Tunggu saya di dalam mimpi

Azan subuh terngiang-ngiang
Sejuk air sampai ke sulbi
Tidak sabar menanti siang
setia kutatap wajahmu di FB

Anak jiran lapar nasik
Singgah makan di pekan silibin
10 pantun sekali kasik
lagi lu nak apa DIN?

Tuesday, August 3, 2010

PENCINTA WANITA (Episod 01)

"Encik Nasir! Ada student nak jumpa..." panggil kerani di kaunter memberitahu. Aku yang sengkak dengan pelbagai mesyuarat di pagi hari cukup berat untuk bertemu sesiapapun. Kujenguk di luar...."Ah....si Habsah rupanya" (bukan nama sebenar). Aku menggamit Habsah masuk. "Saya nak tanya pasal sijil aktiviti saya" katanya terus. Aku pandang wajahnya sambil mengangguk-angguk. Aku tahu bukan itu yang Habsah mahukan. Mukanya serba gelisah dan matanya tidak berani langsung menentang mataku. Kulayan Habsah bercakap.

"Saya siapkan dan bila habis minggu exam, awak collect"...kataku memancing "Sibuk Cik, ni tengah break kelas 10 minit....lepas tu dapat sms dari isteri Encik Kama marah-marah sebab ada affair dengan suami dia".

Mulut aku bagai mahu jatuh ke lantai. "huh?" tanyaku semula. "Bila punya cerita nih?" kalau yang bijak menangkap, sudah tentu terus faham seolah-olah ini bukan pertama kali Encik Kama tertangkap sebegitu..."Baru tak sampai setengah jam tadi Encik" jawab Habsah. Mukanya cukup gusar....cukup-cukup gusar. Aku ketawa kecil...bukan mahu mempersendakan Habsah, tapi mahu menyuntik rasa agar dia melihat situasi pelik itu sedikit ringan.

Tanpa disuruh-suruh Habsah menambah " saya dah bertunang dah, dan nak kena kawin dah hujung tahun ni...bukannya saya kenalpun tunang saya tu. Entah apa yang dia buat di New Zealand sana, entah main dengan perempuan manapun saya tak tahu...kita tak nampak".

"Hish...awak ni!" jerkah aku. "Kenapa cakap macam tu?" "Saya tak nak hampakan harapan mak saya" "Kawin paksa la ni" aku gelakkan Habsah lagi."InsyaAllah, mak awak tahu pilih yang bagus untuk awak...Habis awak nak buat macamana ni? tanyaku.

"Dia ajak saya jumpa, saya nak pergi jumpa la" tegas Habsah berani. Aku jerkah Habsah lagi.

(selesai episod 01)

Sunday, August 1, 2010

MENANTI MATI

Cukup kebetulan, DVD yang kutonton sepanjang cuti Sabtu Ahad ini semuanya kisah orang mengira-ngira menanti mati. Terbaru filem lakonan Miley Cyrus " The Last Song". Dua orang anak yang "rebellious" dihantar ibunya mengharungi cuti musim panas bersama bapanya. Kedua ibu bapanya telah bercerai. Kata Miley ketika disambut di tepi pantai oleh seorang teman baru yang belumpun dikenalinya "irreconcialable differences". Kebencian itu dibawanya dari kecil sehingga dewasa lalu dia menjadi pemberontak.

Tanpa sedar, ayahnya sedang meniti hari-hari terakhir bila cancer nya sudah menyerang paru-paru.

Novel yang kubaca pula merupakan karya terbaru John Grisham "the Ford County". Cerpen pertamanya adalah kisah perjalanan sebuah keluarga serba daif dan serba "jahat" ke penjara di Missisippi untuk menghadiri hukuman mati adik kecil mereka. Hukuman gas beracun itu diperincikannya satu persatu sehingga aku terasa tidak boleh tidur. Campuran gas ditolak ke kamar hukuman, pesalah cuba menahan selama mungkin untuk tidak menghidu, sehinggalah sudah tidak terdaya menahan nafas, pesalah akan mula menghela nafas dan menghela sepuas-puasnya, racun mula menyerang urat dan otot, otot terutamanya di tangan cuba bertahan.........

Kisah paling terperinci tentang hukuman mati mungkin "the Dead Man Walking" lakonan Sean Penn dan Susan Sarandon. Kali ini dengan suntikan beracun. Suntikan pertama melumpuhkan segala sendi dan otot, suntikan kedua menyerang jantung, dan ........

Mati di tangan tuhan atau mati disentap tangan manusia; mungkin ada bezanya. Begitu pula bagaimana simpulan tali gantung itu sebenarnya berfungsi mematahkan tulang leher sebelum "noose" melemaskan ruang udara di batang leher. Konsepnya sama: cuba menghilang deria rasa sakit si pesalah sebelum melemaskan mereka.

Aku akan cuba tidur juga malam ini walaupun aku telah berganjak ke kisah kedua di dalam novella Ford County itu...atau mungkin aku akan menyelak-nyelak helai-helai terakhir bagaimana gas beracun itu mula ditolak ke kamar hukuman itu....

Takut atau ketagih?

Oh! Sang Algojo...Nanti dulu.

Thursday, July 29, 2010

TEPIS TOLAK TERPISTOL LAKTEPIS

Dalam pada khusyuk mendengar khutbah Jumaat, aku cukup tidak gemar ditepis-tepis oleh jemaah yang lambat tiba tapi tetap mahu ke hadapan bersolat sunat. Ada yang menepis lembut, ada yang menampar kasar, ada yang menepis dengan hujung kaki, ada yang menepis dengan hanya berdiri di tepi kita, kononnya mahu kita mengalih punggung memberikan dia laluan.

Yang menepis, mungkin pada mereka tidak salah kerana mereka mengejutkan orang yang tertidur ketika khutbah. Tapi bagi aku, kalau mahu ke saf hadapan, datanglah awal dan duduklah di barisan terutama. Menghayati khutbah juga perlukan keselesaan. kalau sudah berhimpit-himpit sambil hati menyumpah seranah si penepis yang "menyempit" di celah-celah kita yang hadir lebih awal, apa maknanya. Bila sudah terlambat, duduklah di barisan mana-mana yang masih punya kekosongan atau berdiri sahaja sementara menanti khutbah selesai. Dalam agama, jemaah yang sudah tiba awal tidak perlupun memberikan si lewat laluan atau keutamaan.

Teringat pula bila di sekolah dulu, ada sipenepis yang terlalu popular dan kerap sangat "menyempit" di saat akhir. Ada pula yang perasan perihal peel peliknya itu lalu hampir sahaja keduanya bertumbuk ketika imam sudah mengangkat takbir.

Mahu pahala "first class" datanglah awal dan buatlah perangai kelas pertama. Bila lewat hormatilah bahu dan peha jemaah yang sudah awal menempah tempat yang selesa untuk menghayati khutbah. Jangan kerana kita tidak kisahkan khutbah, orang lain yang khusyuk pula terpaksa menolak pahala akibat mencarut.

Kisah khutbah kami hari ini tentang perajurit, pejuang Islam untuk beratus perang di zaman Rasulullah, usaha membina Madinah dalam dalam 10 tahun dan penghargaan kita pada pejuang bangsa dan agama di negara sendiri.

Aku percaya Datuk Bahaman atau Mat Kilau datang awal ke masjid dan tidak perlu menepis untuk ke saf hadapan.
BILA LANGIT MENIMPA KEPALA:

A little "storm" happened in a department very close (physically) to mine. Almost all staff in the department is saying their relucatance to resume working under the present head. These meant staff are not just any Tom, Dick or Harry but an obvious "creme de la creme"; so their noise must have a good ground.

I am to learn their grouses better before suggesting a solution hence I will require an audience with every each of them; individually or in a group. I was advised to let the concerned Head know that I am seeing them to have some "small talk" and this is an act of courtesy. Though it is against any thinkable strategies as it will sure leak the grouses to the Head, I hesitantly abide by it.

The strategy bitten me back so hard. Said the Head "kalau nak jumpa diaorang, buat di luar waktu kerja. Diaorang ada banyak kerja ni!". The actual fact is that, they are forced to work until 8:00 every day and if the instrcution is to be adhered, I am only to meet them after 8:00. Who in the sane mind, on a normal day like today will wait beyond 8:00 o'clock to spill their guts about their disgruntled unhappiness at work?

Right before that, when the rendezvous was "whispered" to every and each staff, each was smiling with (maybe) hope or relief: that at least someone is finally ready to listen to them or hoping that something can be done to better the situation. YET; I was unable to see them as planned. I can see how gloomy their faces were. Another night with something stuck there at their throat.

I am imagining how it felt if I am the said Head or what I will do? Definitely sad knowing that all staff under me is unhappy over "something" about me. What have I done wrong or is there any chance to get it fixed? Something that she do not realise is that all are ready to tender their resignation if things do not improve. 1 is ever ready to be demoted so very low that he once said "biar saya jadi clerk di mana-mana department pun tak apa (while mentioning another "hell hole" deemed worst than the department he is in now), 2 is busy updating their jobstreet's resume.

A storm is definite and as Chicken Little put it "the sky is falling".

Do we listen to one Head defending her leadership approaches OR; do we concur with majority staff who are ready to let everything go while having nothing to fall back to? Do we blame a person under whom so many staff was leaving or dismissed OR; we place the blame on those who do not know how to adapt to the style of that one Head?

Something that is almost certain though is that, not far from tomorrow, I will hear "Kalau semua nak berhenti, let them: Kita bukan tak boleh cari orang lain ganti diaorang."

When forced to choose, we choose to defend our mistaken stand though we know we are wrong....and we will do it with an utmost arrogance. That will be our favourite mistake!

Wednesday, July 28, 2010

Biar Fikir Rasional

PARADOX

Hari ini adalah antara hari paling padat. Aku terpaksa menemuduga 4 calon dalam jangkamasa kurang 2 jam. Ada 2 calon yang terpaksa kutemuduga serentak, di tempat yang berbeza dengan set demonstrasi dan ujian yang berbeza.

Namun satu yang terlalu menyentuh hatiku...dalam pada kita sibuk berbahas tentang lambang salib di pakaian, tongkat syaitan di logo pasukan bola kegemaran dan entah apa-apa lagi, perkara yang lebih asas diperkotak-katikkan di bawah lubang hidung sendiri.

Tanyaku pada salah seorang calon " apa yang kurang menarik di tempat kerja awak sekarang?" wanita yang tadinya banyak cakap dan lincah tiba-tiba merenung satu sudut di luar kawasan mukaku...kosong pandangannya sebelum menjawab "kami tidak dibenarkan sembahyang....tak ada tempat sembahyangpun...dan tidak diberi masa untuk sembahyang langsung!".

Tinggi suara aku bertanya semula "habis awak sembahyang macamana?" jawabnya " saya curi-curi sembahyang, kami cari sudut dan ceruk yang tak dapat CCTV capture dan sembahyang bila-bila dapat lari untuk toilet break". Aku tidak sedih. Aku juga kurang terkejut. Tetapi aku tersentak perihal betapa bangsatnya soal ini diremehkan oleh majikan walaupun negara ini megah melaungkan Islam sebagai agama rasmi.

soal-jawabku tidak habis di situ.

Aku berlari pula ke temuduga lain di tingkat yang berbeza. Hampir selesai temuduga itu, panel bertanya tentang formula waktu kerja di tempat kerja calon yang ujarnya 9 1/2 jam. Kataku lurus "apa pasal pelik? Akta menyatakan 8 jam atau 9 jam. Mana datang 1/2 jam lagi?". Jawabnya " 1 1/2 jam adalah kiraan lunch break, toilet break dan solat break. 1 jam untuk makan, selebihnya untuk ke toilet dan solat".

Kami mengira-ngira semula 1/2 jam untuk solat dan ke tandas. MUSTAHIL. Tanyaku lagi "kalau you exceed the given time?" jawabnya "penalised with warning letter even for 1 minute". Tanyaku lagi "Habis, what is your solution?" dan jawabnya "saya tanya ustaz, ustaz kata boleh Jama'" dan aku terus menempelak "fatwa" nya. "Di mana yang awak bersifat musafir atau mudharatnya?". Dan rumahnya hanya di seberang pejabat...Dan syarikat yang dimaksudkannya bukan kecil-kecil anak malah bertaraf "antarabangsa".

Sudah lama aku mendengar kebiadaban sebegini. Khabarnya, di Pulau Pinang terutamanya di kilang-kilang, Solat Jumaat tidak dibenarkan. Kata sahabatku yang kini sudah bergelar Dr pun, "yang benar-benar takut tuhan, kami bergilir-gilir setiap minggu kedua untuk menyusup pergi sembahyang jemaah".

Soalku:
"kenapa kisah ini senyap dan disenyapkan?"
"kenapa begitu bangsat kita dilayan walau di tanahair sendiri?"

Teringat pula amalan seorang rakan tabligh yang sentiasa membawa jam "randik" di kocek bajunya. Setiap kali ke tandas, solat atau berehat, jam itu akan merekodkan waktu yang terluang di luar waktu "penggajian". Setiap minit yang terbazir, itulah minit yang akan dilambatkannya bila sampai waktu pulang. Persis kisah salah seorang sahabat Rasulullah yang memadamkan pelita minyak bila rakannya mengajak berbicara soal peribadi. katanya "minyak ini minyak dari rakyat...tidak wajar aku membakarnya untuk hal peribadi".

Samada kita harus membetulkan diri sendiri atau meletakkan "adab" itu di tempatnya...sesuatu perlu dilakukan.

Esok aku akan mengadap temuduga lagi...

Monday, July 26, 2010

BUKAN FALSAFAH REKAAN

"SEKSA"

Aku bercuti ke bandar bersejarah Melaka tidak beberapa hari lalu. Satu agenda wajib bagi anak-anakku adalah berendam di kolam renang di hotel tempat kami menginap. Aku yang tidak gemar berendam malah tidak tahu berenang hanya berdiri di dalam air menemankan anak-anakku. Untuk tidak kelihatan terlalu janggal, kugoyang-goyangkan badan sedikit dan kubasahkan rambut agar kelihatan seperti sedang berenang-renang kecil.

Nak berpaut pada pelampung, sudah tentu aku tenggelam.

Selang beberapa ketika, satu kumpulan tiba-tiba datang ke sisi kolam renang...sekurang-kurangnya 5 orang; 1 dewasa, 1 remaja dan 3 anak-anak. Kukira mereka pasti anak-beranak di samping sepupu-sepapat mereka. Mereka cukup riuh.....seolah-olah mahu menjelaskan "we come; we concur". Aku kagum apabila si bapa mengajak anak-anak kecilnya membuat regangan (stretching) sebelum mula bermain air. Tiba-tiba katanya:

"you all must get steam first before you swim" ......dalam telo Cina yang agak pekat (terjemahan: ku "kamu perlu "ghairah" dulu sebelum mula berenang").

Ah! kataku; Ini tentu akan menarik. Mereka anak-beranak mula bermain dan masing-masing berbicara di dalam bahasa Inggeris..yang iras-iras "Pua Chu Kang" tapi disebut dengan selamba. Si bapa berenang berhampiran kami...tiba-tiba katanya:

"You want to play ah...let me competition you!" (terjemahan: " kamu nak main-main ye...mari aku pertandingan kamu".

Aku yang mulanya berenang-renang kecil mula menghimpit ke tepi kolam. Belum cukup aku mencerna terjemahan kata-katanya, tiba-tiba dia menjerit ghairah kepada anaknya lagi:

"ohhh...you want to be the referee...you must be on top" (terjemahan: oh..kalau kau nak jadi pengadil, kau mesti di atas"

kali ini isteriku pula yang menahan ketawa. Bagi aku, tidak salah mahu memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris dan latihan dari kecil adalah satu disiplin yang terbaik. Namun seksanya bila kita mencuba keterlaluan sehingga bahasa sendiri tertinggal jauh-jauh. Mahu berbahasa, betulkan struktur asasnya dahulu. Bila dihentam-keromo, kita di sekeliling pula yang terseksa.

Inilah agaknya punca bila sarikata VCD haram yang kubeli tiba-tiba menterjemahkan "Are you nuts?" : "adakah kamu kekacang?"

Saturday, June 26, 2010


"Nak Woody and Buzz"...begitu ulang anakku setiap kali sessi "shopping" di hujung minggu. Tanpa diketahuinya, aku dan isteri sudah menyelinap menonton "franchise" ke-3 Toy Story itu pada hari pertama ditayangkan di Malaysia.
Aku punyai tabiat "gila" berkejar menjadi antara orang pertama di Malaysia menonton sesuatu cerita baru. Dulu, ketika REX di Jalan Pudu masih ada, aku dan isteri pasti ada untuk apa-apa "matinee show". REX punyai sistem bunyi terbaik ketika itu. Bila peluru tersasar dalam filem "Dances with Wolves", bunyinya berlegas seperti pintas di belakang telinga. Begitu juga bila "Forrest Gump" berlari meredah hujan peluru mencari "Bubba"nya, peluru itu seperti tembus di cuping telinga.
"Apa la galakkan anak-anak kumpul toys macam tu?" rungut seorang rakan pejabat bila aku bercerita tentang "kegilaan" anakku itu. Aku akan segera membetulkan "first and foremost, it is "Action Figure"...bukan ordinary toys". Semua perincian action figure tepat sebagaimana watak asal. Bukan sekadar mainan biasa yang banyak terjual di mana-mana.
Action Figure membawa kita mengabadikan "scene" kesayangan kita bagi apa juga filem yang kita kagumi. Anakku meniru aksi "horse-riding" Woody di belakang Andy pertama bila "Woody"nya dikeluarkan dari kotak pembungkusnya. Anak perempuan ku pula sibuk mahu menuliskan namanya di boot kanan Jessee. Buzz pula dikerjakan dengan laser beam di tangannya. Ia membawa mereka, kita dan aku lari dari alam penuh kerungsingan ini dan berhenti dalam "scene" yang penuh makna itu. Itulah harga "action figure" yang dikumpul.
Bisik aku pada isteri "sponsor tie-fighter Clone War (Star Wars) ni" sambil aku sedia memegang pesawat pejuang Anakin Skywalker dalam EPISODE II Star Wars. Di kotak akal, aku sudahpun diangkasa (in a galaxy far far away) bersama ARTOO mempertahankan Queen Amidala ku...

Bila Fikiran Resah

Malam ini kutunggu dengan penuh "debaran". Kebanyakan teman dari kelas 85-89 telah ditemui setelah lebih 20 tahun dalam beberapa kesempatan sebelum ini. Namun malam ini akan mempertemukan "Senior" (kelas pertama yang asli), "super senior" (kelas tingkatan 4 yang diimport) serta para "junior" yang lain.

Sebaik tiba, dalam sangkaan bahawa orang tidak mungkin mengenali siapa aku, aku terus disapa bertalu-talu oleh para "senior". Usikan "kenal aku tak?" sambil menutup tanda nama di dada menjadi mainan di sepanjang malam. Banyak wajah yang terlalu serupa sejak dulu hingga ke malam ini namun tidak kurang yang berubah sama sekali. Saiznya, raut wajahnya, suaranya....

Malam itu terlalu pendek untuk mempertemukan walau sebahagianpun anggota "Manjoi". Bagi antara yang terawal meneroka bekas maktab perguruan Manjoi itu, keperitan dan kesederhanaan hidup sudah menjadi "middle name" di zaman itu namun InsyaALLAH...ramai yang menjadi "orang" sebagaimana terlihat pada malam ini.

Dalam kesempatan sebegini, lebih banyak cerita-cerita kecil yang bertukar-ganti. Bak kata Cikgu Ahmad " ini si Nasir yang selalu dengan dramanya...ada satu yang paling saya ingat" katanya mencari-cari judul kisah drama yang mungkin digemarinya: Mungkin "Gumantong"; kisah versi Bahasa Inggeris pahlawan Sarawak arahan Miss Tan, atau; Pasir Salak bila aku menjadi "anjing Company" atau; "the Bus Stop" arahan aku untuk rumah Bendahara atau; sketsa "controversy" yang aku hidangkan ketika lawatan Pengarah Pelajaran Perak. Teruk cikgu Ahmad Ismail dimarahi Guru Besar kerana sketsa itu sengaja aku larikan dari "suntingannya" ketika raptai ...dan hasilnya, malam itu penuh dengan kejutan. Yang mana sekalipun, ianya sesuatu yang mengharukan kerana selepas 20 tahun, ianya masih kekal di hatinya.

Ramai yang menyapa dengan wajah malu...ada cerita masing-masing yang sudah kulupa agaknya. Dalam usia 38-39 seperti kataku pada Zainal, "datanglah..mungkin ini kesempatan terakhir berjumpa kawan-kawan lama". Ramai yang bersalaman dengan genggaman seolah-olah enggan dilepaskan, ramai yang tanpa silu berpelukan tanda rindu yang teramat sangat..tapi semua kembali dengan sebentuk senyuman. Suatu senyuman kepuasan bahawa kita membuktikan kita sudah jadi "orang".

Saturday, June 19, 2010

Blues Funeral Rhyme

Funeral Blues

Stop all the clocks, cut off the telephone,
Prevent the dog from barking with a juicy bone,
Silence the pianos and with muffled drum
Bring out the coffin, let the mourners come.

Let aeroplanes circle moaning overhead
Scribbling on the sky the message
He is Dead.

Put crepe bows round the white necks of the public doves,
Let the traffic policemen wear black cotton gloves.
He was my North, my South, my East and West,
My working week and my Sunday rest,
My noon, my midnight, my talk, my song;

I thought that love would last forever:
I was wrong.
The stars are not wanted now; put out every one,
Pack up the moon and dismantle the sun,
Pour away the ocean and sweep up the woods;
For nothing now can ever come to any good.

W.H. Auden

Beautiful Film Reviewed

"May you never steal, lie or cheat....
But;
If you must steal, then steal away my sorrows;
If you must lie, lie with me all the nights of my life;
If you must cheat, then please cheat death...
Because I coudn't live a day without you"

Friday, June 18, 2010

Biar Fajar Restuimu

Satu tugasan yang paling tidak kusenangi...berperang di mahkamah. Baik bertikam lidah sendiri atau menemani askar syarikat mempertahankan kepentingan masing-masing.

Suatu pagi, aku perlu siap siaga berdiri di sebuah mahkamah terpencil nun di ceruk mana. FAJAR belumpun naik penuh namun kerana perlu mengejar waktu aku diarah muncul di pintu mahkamah, aku sudah mundar mandir di situ.

Dalam samar-samar pagi itu, terlihat sekurang-kurang 8 baris dengan sekurang-kurangnya 30 orang di setiap barisan sedang duduk bertinggung di atas jalan tar di hadapan mahkamah. Wajah masing-masing cukup sugul. Perlahan-lahan juga terlihat pergelangan tangan masing-masing terikat antara satu sama lain dengan seutas "chord" getah.

Mereka tertangkap malam tadi entah di mana dan sedang menunggu giliran dipanggil untuk sebutan kes. Di sebelah kanan, masing-masing dengan seragam biru...entah kilang mana tidak jelas pula lambang dan namanya. Di pintu hadapan sebuah lagi lori imigresen berhenti. 2 barisan lagi turun dari dalam lori berjaring kawat itu. Tangganya terlalu curam dan dengan tangan yang terikat berdua-dua, hampir saja mereka terjatuh bila melangkah turun. Wajah masing-masing sugul..entah ada amarah... entah ada pasrah...entah petang itu juga mereka akan dikembalikan ke negara masing-masing.

4 tahanan bangun dan berjalan ke seberang bangunan, seorang berpakaian biru gelap menanti. Giliran "buang air". "bagaimana pula nak buang air dengan tangan terikat berdua-dua...ah! dalam darurat sebegini, apalah yang mahu dimalukan"

Aku yang baru tiba sudah basah kuyup dengan hawa pagi itu. Mereka sudah bersila di situ semenjak entah jam berapa? Aku yang baru tiba sudah bergelodak perut minta diisi, mereka entah jam berapa menjamah makan malam?

"Kes A 334 336" tiba-tiba jerkah seorang wanita berwajah bengis. Aku tersentak dan segera bingkas ke bilik bicara. Undang-undang rupanya bangun seawal fajar dan tidak melihat memilih orang. Kutinggalkan pemandangan yang sulit di jalan tar itu lalu menghela nafas untuk mencari keadilan di tanah sendiri. Entahkan menang, entahkan kalah?

Kalau aku di negara mereka, mungkinkah aku juga sedang bersila di jalan tar sebegitu? Tanyakan saja pada Fajar yang sedang garang itu...

Beautiful Fables Retold!

Abdul Nasir Abdul Khalil May 20 at 12:47am (earlier posted in Blog Kotarialun)

HARGA SECANGKIR TEH TARIK KURANG MANIS; SETEGUK KASIH SAYANG

Setiap hari bekerja, aku tidak pernah gagal singgah di restoran kecil tu. Rutin setiap pagi, aku akan meletakkan kereta ku di hadapan restoran itu, berjalan kurang lebih 100 meter ke mamak surat khabar untuk edisi the Star lalu menikmati berita seharian semalam di restoran kecil itu.Aku cukup benci diiganggu kalau aku sedang membaca surat khabar di situ atau ketika sedang minum teh tarik kurang manis "syarat wajib pagi" ku. Makanan di situ serba tidak sedap (walaupun suatu waktu dulu serba sedap). Adatlah...bila sudah lama, yang cantik jadi comot, yang manis jadi payau. Harganya juga boleh tahan "mengapak" poket. tapi kuulangi juga setiap pagi dan bagiku membayar harga "privacy" bersendirian "uninterrupted".

Adakalanya, untuk separuh pinggan mee, teh tarik kurang manis dan sedikit "privacy", aku membayar sehingga RM 4.50. Sesekali makcik empunya restoran itu sengaja bersuara mengusik "dia ni makan buat syarat aje" setiap kali melihat makanan separuh yang kupesan tidak luakpun. Aku selalu juga serba salah bila nasi impit kuah kacang yang kupesan cuma habis dalam dua potong. kadang-kadang kuhancur-hancurkan yang lebihnya supaya tidak nampak sangat tidak luak.....malu ditegur makcik restoran.

Pagi ini sedikit berbeza.

Sedang aku membelek "the Star" mencari-cari kisah Anuar Ibrahim atau analisa Sibu yang masih suam-suam lagi, seorang makcik datang perlahan dari arah dapur restoran. Aku kenal-kenal bahawa makcik ini salah seorang tukang masak di situ. Tiba-tiba sapanya sambil menghulur tangan:"(dalam lenggok indonesia) "encik...mintak maaf...hari ini hari penghabisan makcik di sini. Esok mahu kembali ke Medan. Setiap pagi nampak encik di sini. Semoga apa yang tersalah atau kurang enak dimaafkan. Sudah lama di sini. Harus kembali berjasa ke Medan" katanya.Air matanya bergenang sedikit. Aku juga.Tambahnya lagi " kalau datang ke Indonesia atau Medan, cari saya di sana, singgahlah...tanya Induk (gelaran kepada makcik tuan punya restoran) alamat saya atau nombor telefonnya"."InsyaAllah!" jawab ku ringkas."selamat ye" aku menutup.

Dia bergerak semula ke dapur meneruskan kerja.Aku terpempan seketika. Air mata kuseka sedikit. Tidak aku sangka dalam aku berusaha bersendiri setiap pagi, dia sentiasa melihat aku dari dapurnya. Dalam "keasingan" tidak mahu dicampuri, aku tetap jadi sesuatu yang penting bagi seseorang lain. "Life revolves around me after all, though I felt small" Begitulah dengan RM 4.50, aku juga membeli suatu "kasih sayang" yang cuma kusedari pada hari terakhir dia di bumi bertuah ini. esok dia akan punyai perjuangan berbeda...dan aku akan tetap ke situ dengan surat khabar dan teh tarik kurang manis rutin ku.

Ballistic Friendly Reminder

Khutbah Jumaat di Masjid Qariah aku cukup mudah tapi dalam sekali menyentuh.

Pertama pembuka kata, kami ditegur tentang mentaliti penjajahan yang membunuh amalan kita perihal mengutamakan bulan Islam di dalam kira-kira kehidupan seharian. kata khatib, penjajah cukup getar kerana bulan Islam membawa terlalu banyak pengertian dan peristiwa yang akan segera membawa kita kembali kepada "akar" Islam....semudah itu!

Lalu khatib membawa keistimewaan bulan Rejab, bulan "solat" mula diwajibkan untuk Rasulullah dan umatnya. Khatib terus mambawa jemaah melihat bahawa solat adalah hadiah Allah paling istimewa untuk umat Muhammad (perihal khasiat kesihatannya, disiplin, ukhwah dan pelbagai).

Khatib sinis membawa analogi mudah " kalau ayah bawa kuih untuk anak-anak sebagai hadiah, lalu anak-anak membiarkan kuih terbiar begitu sahaja..sedihlah si ayah hadiahnya tidak dihargai anak-anak"...."namun kalau anak-anak berebut-berebut menjamah kuih yang dibawa, tentu ayah tersenyum bahawa ingatan dan hadiahnya disukai anak-anak". Allah menghadiahi solat tapi sejauh mana kita menikmati solat hadiah Ilahi.

Di awal khutbah, khatib hampit sahaja membuatkan aku ketawa. Kata khatib ada pelbagai orang dan disiplin solat masing-masing:

Ada yang cukup sempurna pada setiap waktu
Ada yang sekadar 2 waktu dari 5 sehari semalam
Ada yang sekali sehari
Seminggu sekali (hanya pada Jumaat...lantas masing-masing jemaah mula memandang-mandang jemaah di sebelahan)
Setahun sekali (hanya sembahyang raya)
Malah juga seumur hidup sekali (ketika dimandikan mayatnya) tambah khatib "itupun kalau mati...kalau tak mati, tak pernah solat langsung"

Lalu di mana solat kita? atau terasakah kita nikmat solat sebagaimana yang seharusnya kita rasai?

Khatib itu pastinya tidak mengeja teks khutbah, kata-katanya dibiar lepas di dalam telo kelantannya, cuma bila ayat Quran diselang-selinya, suaranya tiba-tiba cukup tegas kerana pengertiannya cukup keras (berpesan pada kebenaran). Itulah khutbah yang baik yang disampaikan, bukan yang sekadar dibaca.

Ada suatu khutbah suatu masa yang sekadar membawa sebuah cerita "fable" dan tidak sampai 10 minit, ianya berakhir tanpa apa-apa peringatan jelas. Jemaah pulang TETAPI berfikir sepanjang jalan pulang. Itu khutbah yang lebih hebat.

Tuesday, June 15, 2010

Best For Rememberance

Anakku gemar menyebutnya "the Green Car". Proton Wira Aeroback 1.3 keluaran 1998. Dalam generasinya, jarang benar yang berwarna hijau. Kata seorang teman, "the colour matches the interior theme"....begitulah kadangkala perkara yang tidak significant akhirnya menentukan keputusan besar dalam hidup kita.

Dalam salah satu episod "That 70s Show", Rick mengajar anaknya psikologi pembeli terutamanya bila tiba musim perayaan atau bila memilih hadiah untuk perkahwinan. "Blender" adalah antara yang paling mudah menjadi pilihan namun "blender" yang mana akan dicekup dulu? "Blender" dengan WARNA yang menarik.....lupakan kuasa dan keistimewaannya, bilahnya yang stainless steel....ianya akan ditentukan oleh warnanya.

Itu kereta pertama yang kupandu dengan "power steering" atau terkadang jenaka di kampung "Paut Steering" (bagi kereta tanpa power steering).

Best Friends Revisited


It has been exactly a year yesterday. June 13, 2009.
We are lucky to be alive.....or shall I say "lucky to be reborn"
BFR803: You will stand there as a bitter reminder to the meaning of livelihood!
How do we commemorate bad things that was ever happened to us? We erect statues, we dedicate a special day for the event, we drink and make a toast "hey...I cheated DEATH".
By the way, shouldn't we try to forget bad things in life and move on with beautiful pieces we have? Said Dr Mahathir, when we try to forget our history, we tend to repeat our mistakes...especially mistakes.
This is a blog about an ordinary car and how it was so much loved and how we learnt so much from calamity befallen us....exactly a year ago.