Wednesday, November 24, 2010

Aramaitee

"Aku hidup susah, tapi kau harus hidup senang".

Itu tegas ayahnya setiap kali meransangnya untuk bangkit dan terus maju. Ayahnya seorang bekas pekerja lombong tembaga. Apabila kegawatan ekonomi melanda sekitar 2001, lombong turut ditutup lalu ayahnya bertani padi dan hasilan kebun untuk membesarkannya sekeluarga. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Ranau 01 sebelum ke Sekolah Menengah Kebangsaan Mat Salleh, Ranau. Beliau terus mencari arah hidup untuk keluar dari kemelut kesempitan.

Dia menyertai Institut Kemahiran MARA Sabah mengambil jurusan Teknologi Baik Pulih Badan Kenderaan.

Pujuk ibunya " Bersyukur walau hidup susah, jangan terbiasa dimanja-manja. Teruskan berlari walau tidak dibantu".

Si Ibu juga tidak duduk diam melihat ayah membanting tulang. Ibu turun menjual kuih membantu melengkapkan sesuap nasi untuk anak-anak.Pada 2006, nama beliau telah dianjurkan oleh MARA untuk mengikuti pengajian Higher National Diploma di TWINTECH. Meski pada awalnya beliau nekad mencuba nasib di jurusan Mechanical Engineering, namun setelah rundingcara dengan kauselor akademik TWINTECH, beliau dilihat punyai potensi dan bakat yang tinggi di dalam arena Quantity Surveying.

Semester 01 adalah perang paling besarnya . Namun azamnya tinggi. Pesannya pada diri "aku tak mampu untuk gagal atau mengulang...lalu aku harus lulus dan cemerlang". Kesungguhan ini dihidu pensyarah-pensyarah di awal semesternya kerana mereka memahami bahawa dia tidak mempunyai asas yang kuat untuk jurusannya. Dia digilap dengan kerja lebih bagi mempastikan dia berdiri sama tinggi dengan rakan-rakan yang lain.


Dia malu melihat kesungguhan pensyarah-pensyarahnya ini kerana terasa perhatian yang diberikan membebankan mereka namun dia tekad membuang jauh-jauh rasa malu itu. Dia memegang rahsia yang cukup mudah. Dia tidak gemar membawa buku teks dan bergantung kepadanya. a) Masuk ke kelas, b) dengar syarahan dan; c) buat nota sendiri. Buku teks hanya sebagai perbandingan dan bacaan pengkayaan sahaja. Dia percaya, jika fokus di kelas, sudah cukup untuk memahami majoriti pelajaran.Resipinya lagi; belajar perlu ikhlas. Jangan terlalu ghairah mahu lulus tetapi sebaliknya belajarlah untuk faham. Bila faham, ianya akan kekal selama-lamanya.

Kesungguhan menuntut ilmu diseimbangkannya dengan aktiviti ko-kurikulum. Merupakan di antara anggota Jawatankuasa Eksekutif Majlis Perwakilan Pelajar TWINTECH memegang Portfolio Kebudayaan & kesenian, mengepalai pelbagai aktiviti gergasi anjuran Persatuan Quantity Surveying Faculty termasuk IUCTT Family Day, Kempen mengumpul bantuan Buat Gaza, Sambutan Isra’ Mikraj peringkat Universiti, Kunjungan ke Kompleks Penyayang Bakti Bandar Sri Damansara, Superfriends : Manifestasi bakat music TWINTECH serta banyak lagi.

Beliau yang cenderung dan berbakat seni music pernah bergiat menyertai Battle of the Bands Sabah Open, Celcom battle of the Bands, Sabah dengan pencapaian terbaik mendapat tempat ke-dua bagi keseluruhan Sabah. Selain itu, beliau turut giat menyertai pelbagai “gig” di sekitar aktiviti anjuran TWINTECH malah juga di Sabah.

  1. Adalah lambang kegigihan seorang pelajar yang mahu membawa perubahan bukan sahaja pada dirinya, malah juga keluarga dan masyarakat.
  2. Mempamerkan bahawa beliau berani menilai diri di tengah-tengah perjalanan, mengukur keupayaan dan membetulkan arah agar sesuai dengan minat dan keupayaan sebenar.
  3. Membuktikan bahawa graduan boleh sahaja membawa keseimbangan di antara keazaman cemerlang di bilik darjah, malah menikmati kehidupan social di kampus melalui pelbagai aktiviti yang menggilap keupayaan komunikasi dan kepimpinan agar bersedia berfungsi di dalam masyarakat.
  4. Menyuntik semangat yang kian pupus; belajar untuk menikmati dan mempraktikkan ilmu...BUKANNYA belajar untuk sekadar cemerlang di atas kertas.




Tuesday, November 23, 2010

Jari Jariku (sakit semua)


Sehari-hari berjuang di luar, beban seberat dunia dipikul di atas bahu. Bila pulang ke rumah, kita mula mencari-cari penawar sakti.


Indahnya bila ada jemari-jemari halus yang mengelus-elus wajah. Jemari yang tak tahu erti kebencian lagi. Sakit-sakit kecil bila muka dicakar-cakar, hujung bibir disentap-sentap, cermin mata tua dipulas-pulas. kemuncaknya bila si dia membuka mulut dan mahu menggigit gigit hidung.


Agaknya itulah sakti hakiki. Bukan tentang cakar-cakar parti politik yang tiada sudah, atau soal-soal hak yang disentap-sentap, maruah yang dipulas-pulas atau realiti dunia yang menggigit-gigit.


Kalaulah boleh kupinjam, kubawa jemari halus itu ke pejabat...walau sehari?


[suatu monologue buat Amreena Rasyada]