Thursday, August 5, 2010

GELORA DI HATI SARA...

Selepas sebuah siri Melayu lakonan Haleeda arahan Mior Hashim Manap kira-kira 10 tahun lalu, aku tidak terpanggil untuk mengikuti mana-mana siri soap opera Melayu. Dalam siri yang aku terlupa judulnya (lagu temanya Bunga-Bunga Cinta oleh Misha Omar), Haleeda tampil di dalam percubaan lakonan paling awalnya sebaik selepas perceraian dengan Azman Adnan.

Mengejutkan apabila lakonannya terlalu bersahaja dan terlalu baik untuk seorang yang tidak punyai asas lakonan atau theater. Kepasrahan wataknya mengikutkan "gila" suaminya mencari erti kebahagiaan di luar perkahwinan membuatkan aku jadi terlalu simpati. Suami itu pilihan ibu bapanya...Haleeda mempamerkan senyuman paling tawar bila menyembunyikan sengsara perkahwinannya. Itu Haleeda yang membawa kisah gadis kampungan yang ditolok banding dengan wanita-wanita elit kota.

Tapi bila aku tertonton "Gelora di Hati Sara", Fauziah Latif membawa "facade" tidak kurang sengsaranya tapi di sebalik watak seorang wanita peguam professional. Kebetulannya, seperti Haleeda, Gee baru berpisah dan Gelora di Hati Sara (siri 01) merupakan percubaan lakonan terawalnya. Sekali lagi, hasilnya adalah lakonan yang terlalu bersahaja dan terlalu baik. Sehingga pagi tadi, teringin sahaja aku bertanya siapa acting coach yang digunakannya?

Aku menyeka air mata di episod malam tadi bila Sara menarik ibunya keluar dari bilik tidur Sara yang telah dijajah madu mudanya....bila dia "silent scream" lalu mengutip buku-bukunya yang bersepah di bilik tamu...bila dia berdiri di antara ayah mertuanya (Rahim Razali) yang remuk dihamun ibunya...Masih ada kasih sayang di matanya. Masih dalam hormatnya pada ayah mertuanya yang bermati-mati mengangkat "tidak kurang sedikitpun kasih sayang kami pada Sara".

Dalam drama Haleeda, pada episod akhirnya, Mior Hashim Manap membuat babak penghabisan hanya dengan satu shot. SATU SHOT! Hanya satu camera yang digunakan untuk satu babak yang begitu panjang...bagi menyerlahkan keupayaan dan penghayatan pelakon-pelakonnya. Ini bukanlah sesuatu yang asing bila Mior Hashim Manap terbiasa dengan teknik theater sebegitu melalui filem-filem Rahim Razali terutamanya ABANG. Terlalu banyak babak yang bergerak di atas satu shot dan tidak hairan juga kerana semua pendokong wataknya adalah penggiat teater yang tersohor di zaman masing-masing.

Begitulah aku ditemukan dengan 2 kebetulan dalam jarak lebih 10 tahun:

  1. Haleeda & Fauziah Latif
  2. Rahim Razali
  3. Mior Hashim Manap serta;
  4. satu GELORA yang tidak pernah tua walau zaman berubah




Wednesday, August 4, 2010

SOMETHING FOR DIN:

A serie of 10 quick "pantun" for a special friend DIN: Sometimes loves speak beyond what words can ever comprehend.

Tukang di anjung mengukir kekisi
Ibu di dapur buat anyaman
Sekali terpandang matamu KC
Muka yang ganas jadi bertaman

Pergi ke pekan belikan gambir
Ikan sungai disiang-siang
Malu ku ini hanya di bibir
Hati sudah berlagu riang

Budak bermain terlompat-lompat
Adik berjalan berkawan-kawan
Pandangan tuan penuh makrifat
Hati hamba sudah tertawan

Api sudah bertukar bara
Dibiar orang di pingggir laman
Serik hati dibiar lara
Semoga suri mahu meneman

Anak itik di atas titi
Ikan di sungai berburu-buru
semak samun kanan dan kiri
Laksamana Khairi tolong ke tepi...
Hamba ini jenis cemburu
Bila KC tuan hampiri

Megah pengantin di singgahsana
senyum simpul semanis gula
KC, hamba tidur tak lena
Tangan bersilang memangkah kepala

Abang ke laut mengutip karang
Sampan dikayuh berjaga-jaga
Hamba bahasa harta pun kurang
Hanya Mountain Bike boleh dibangga

Orang di pekan menjual cerut
Tembakau dibeli berkati-kati
Tidurlah sayang malam dah larut
Tunggu saya di dalam mimpi

Azan subuh terngiang-ngiang
Sejuk air sampai ke sulbi
Tidak sabar menanti siang
setia kutatap wajahmu di FB

Anak jiran lapar nasik
Singgah makan di pekan silibin
10 pantun sekali kasik
lagi lu nak apa DIN?

Tuesday, August 3, 2010

PENCINTA WANITA (Episod 01)

"Encik Nasir! Ada student nak jumpa..." panggil kerani di kaunter memberitahu. Aku yang sengkak dengan pelbagai mesyuarat di pagi hari cukup berat untuk bertemu sesiapapun. Kujenguk di luar...."Ah....si Habsah rupanya" (bukan nama sebenar). Aku menggamit Habsah masuk. "Saya nak tanya pasal sijil aktiviti saya" katanya terus. Aku pandang wajahnya sambil mengangguk-angguk. Aku tahu bukan itu yang Habsah mahukan. Mukanya serba gelisah dan matanya tidak berani langsung menentang mataku. Kulayan Habsah bercakap.

"Saya siapkan dan bila habis minggu exam, awak collect"...kataku memancing "Sibuk Cik, ni tengah break kelas 10 minit....lepas tu dapat sms dari isteri Encik Kama marah-marah sebab ada affair dengan suami dia".

Mulut aku bagai mahu jatuh ke lantai. "huh?" tanyaku semula. "Bila punya cerita nih?" kalau yang bijak menangkap, sudah tentu terus faham seolah-olah ini bukan pertama kali Encik Kama tertangkap sebegitu..."Baru tak sampai setengah jam tadi Encik" jawab Habsah. Mukanya cukup gusar....cukup-cukup gusar. Aku ketawa kecil...bukan mahu mempersendakan Habsah, tapi mahu menyuntik rasa agar dia melihat situasi pelik itu sedikit ringan.

Tanpa disuruh-suruh Habsah menambah " saya dah bertunang dah, dan nak kena kawin dah hujung tahun ni...bukannya saya kenalpun tunang saya tu. Entah apa yang dia buat di New Zealand sana, entah main dengan perempuan manapun saya tak tahu...kita tak nampak".

"Hish...awak ni!" jerkah aku. "Kenapa cakap macam tu?" "Saya tak nak hampakan harapan mak saya" "Kawin paksa la ni" aku gelakkan Habsah lagi."InsyaAllah, mak awak tahu pilih yang bagus untuk awak...Habis awak nak buat macamana ni? tanyaku.

"Dia ajak saya jumpa, saya nak pergi jumpa la" tegas Habsah berani. Aku jerkah Habsah lagi.

(selesai episod 01)

Sunday, August 1, 2010

MENANTI MATI

Cukup kebetulan, DVD yang kutonton sepanjang cuti Sabtu Ahad ini semuanya kisah orang mengira-ngira menanti mati. Terbaru filem lakonan Miley Cyrus " The Last Song". Dua orang anak yang "rebellious" dihantar ibunya mengharungi cuti musim panas bersama bapanya. Kedua ibu bapanya telah bercerai. Kata Miley ketika disambut di tepi pantai oleh seorang teman baru yang belumpun dikenalinya "irreconcialable differences". Kebencian itu dibawanya dari kecil sehingga dewasa lalu dia menjadi pemberontak.

Tanpa sedar, ayahnya sedang meniti hari-hari terakhir bila cancer nya sudah menyerang paru-paru.

Novel yang kubaca pula merupakan karya terbaru John Grisham "the Ford County". Cerpen pertamanya adalah kisah perjalanan sebuah keluarga serba daif dan serba "jahat" ke penjara di Missisippi untuk menghadiri hukuman mati adik kecil mereka. Hukuman gas beracun itu diperincikannya satu persatu sehingga aku terasa tidak boleh tidur. Campuran gas ditolak ke kamar hukuman, pesalah cuba menahan selama mungkin untuk tidak menghidu, sehinggalah sudah tidak terdaya menahan nafas, pesalah akan mula menghela nafas dan menghela sepuas-puasnya, racun mula menyerang urat dan otot, otot terutamanya di tangan cuba bertahan.........

Kisah paling terperinci tentang hukuman mati mungkin "the Dead Man Walking" lakonan Sean Penn dan Susan Sarandon. Kali ini dengan suntikan beracun. Suntikan pertama melumpuhkan segala sendi dan otot, suntikan kedua menyerang jantung, dan ........

Mati di tangan tuhan atau mati disentap tangan manusia; mungkin ada bezanya. Begitu pula bagaimana simpulan tali gantung itu sebenarnya berfungsi mematahkan tulang leher sebelum "noose" melemaskan ruang udara di batang leher. Konsepnya sama: cuba menghilang deria rasa sakit si pesalah sebelum melemaskan mereka.

Aku akan cuba tidur juga malam ini walaupun aku telah berganjak ke kisah kedua di dalam novella Ford County itu...atau mungkin aku akan menyelak-nyelak helai-helai terakhir bagaimana gas beracun itu mula ditolak ke kamar hukuman itu....

Takut atau ketagih?

Oh! Sang Algojo...Nanti dulu.