Friday, December 31, 2010

Joyride 2011



Tergaru-garu amat bila mata terpandang roda "Ferris Wheel" di kejauhan sudut di Shah Alam. Dalam kaki menekan minyak mencuba-cuba untuk tiba ke rumah dalam saki-baki minit-minit terakhir perlawanan bola sepak "final" pertama di Bukit Jalil, hati terusik dengan gambaran-gambaran "sarkis" yang old-school. Jagung mentega, pop-corn, cotton-candy dan banyak lagi.

Berhari-hari pula hasrat itu terpaksa kupendamkan sehinggalah malam Jumaat lalu, kucapai kamera lalu bergegas bersama keluarga kecil ku tiba di Shah Alam.

Sampai di pinggir Stadium Shah Alam itu, lega benar hati kerana tiba juga ke situ. Berpuluh-puluh pula orang mengusung camera DSLR yang ada di antaranya, lensanya sahaja sudah mencecah seperlapan harga sebuah kereta. Terus kurakam gambar "Ferris Wheel" sebelum mengintai ke daerah rumah hantu dan barisan permainan yang hampir pasti mengalahkan pelanggan...namun orang berbaris juga mencuba nasib atau mencuba-cuba menayang kemahiran di hadapan buah hati. Teringat bisik arwah Dr Arif (guru gamelanku) "kitapun pernah muda Cik Nasir" katanya menjeling nakal.

Segalanya "old-school" sebagai yang kubayangkan. Dari penjaga setiap permainan sehinggalah susunan dan tarikan-tarikannya. Kutemankan anakku bermain kapal terbang hidraulik. Yang menjaga "joyride" kami mengutip token, mengemaskan palang keselamatan dan menolak pesawat dengan rokok terkepit di bibir dan jemari.

Itulah warna-warna kegembiraan yang sudah hampir pupus dek arus kemodenan. Bila sesekali terpeluang melihat kembali kisah dan cara-cara yang lama, tersenyum puas pula sendirian sambil hati memujuk "taklah tua sangat aku!" kerana cara yang kita suka masih terpakai di masa kini walaupun sudah bergelar "antik". Aku balik dengan senyuman puas. Hampir-hampir 30 snap yang dapat aku sempurnakan...sambil mengurut-ngurut dahi (pening menaiki kapal hidraulik) dan memicit-micit pinggang (akibat penat berjalan)..."taklah tua sangat" sambil mata redup mengalah pada malam.

Tuesday, December 7, 2010

Gurindam Buat Ida



Sampai juga aku ke Baling. Tiba di sana, rasanya hampir sekampung sudah mengenali aku. nampak sangat IDA sudah berkisah tentang Cik Nasir. Segan pula aku dibuatnya. Hujan renyai dari awal sempadan Kedah sehinggalah tiba di Baling membuatkan sasaran tiba sebelum jam 12:00 sedikit tersasar. Tiba, aku terus dihidang makanan kampung. Terbuka sungguh selera bila terhidang ulam dan sambal belacan. Tak payah susah-susah berlauk serba mahal. Ikhlasnya terasa. Cukup terasa.

Perjalanan ke rumah IDA adalah satu kemestian yang aku azamkan. Aku dan IDA punya sesuatu yang di luar perhubungan seorang ketua dan rakan kerja. IDA membuat banyak "sakti" tanpa banyak merungut, menghabiskan sisa kerja yang bukanpun tanggungjawabnya dan mengajar aku tentang sabar yang disimpan kemas di dalam dada walaupun diinjak dan pijak oleh orang lain. Mungkin juga budak-budak aku ini segan kerana aku ini orang yang cukup berdiam bila diajak berkonfrantasi. Lalu mereka juga jadi lebih penyabar.

Perjalanan itu suatu perjalanan yang aku mestikan pada diriku. Dalam perjalanan itu aku mencari pelbagai makna malah menyoal diriku sendiri tentang seaneka tandatanya yang tidak dapat kuungkai di sini, di Kuala Lumpur. Tiada siapa yang faham rasanya;

"Hendak mati di hujung kuku, hendak berkubur di tapak tangan": begitulah "cinta" yang dialun di dalam lagu Gurindam Jiwa itu. Kusisip hadiah itu pada IDA kerana cintanya dan ASRI tidak mungkin dapat diukir dengan kata-kata. Dia baru memulakan perjalanan panjangnya.

Aku juga. Kita juga!

Ketika bersalaman untuk pulang, berat rasa hati. Terasa kemesraan itu jujur dan indah. Seorang makcik tua tiba-tiba menghulur tangan lalu bertanya "Encik Nasir dah nak balik? Tak tunggu esok ka?" tanyanya lagi. Aku tidak kenal dia. Aku hanya kenal IDA. Aku tersenyum lalu kuingat wajah tua itu.

Di sebalik senyumannya; Siapa yang Tahu?


Bila Mentari Tergelincir?


Tanya kalian..."mana sajaknya?" lalu jawabku "sedang kuusahakan".

Rangkanya sudah kususun namun kata-katanya belum benar benar lunas. Tentang Sang mentari yang tergelincir di hujung senja, di hujung laut hilang di sempadan lautan jatuh entah ke mana?

Monday, December 6, 2010

Bila Sita Berlagu?



Lucu juga bila sesekali aku mengubah status Instant Messaging ku, ianya jadi bahan berbalas-balas tanya pula.

Terbaru, avatar nya kutukarkan kepada gambar Sita Dewi dalam bentuk bayangan wayang kulit lalu kunamakan status ku "Bila Sita Dewi Berlagu, Seri Rama Bergaru".

Tidakpun lama, bertalu-talu rakan-rakan mula bertanya: a) Si Sita menyanyi lagu apa?, b) Kenapa Si Sita perlu menyanyi?, c) Bagaimana lagu si Sita membuatkan Seri Rama gatal-gatal?, d) Apa jadi dengan si Seri Rama akhirnya? ....dan pelbagai lagi. Jawapan aku pelbagai dan mungkin berbeza-beza mengikut si penanya.

Jawabku sekali; Sita menyanyi lagu Iwan: "Memori Daun Keladi" [memomok lagu "Memori Daun Pisang"] dan kerana itu lagu itu "gatal-gatal" lalu terpalit ke Seri Rama.

Jawabku lagi; Sita menyanyi lagu "Langgam Pak Dogol" oleh M.Nasir; kerana itu Seri Rama yang sedang berperang "tergaru-garu" hatinya rindukan si Sita nan jauh.

Jawabku yang lain; Bila Seri Rama sudah mintak digaru (kerana gatal), manalah ada penawar lain selain tetap "digaru"..itu metafora mudah sebetulnya. Yang gatal harus digaru-garu.

Apapun, begitulah indahnya seloka di dalam bahasa. Kias yang mudah boleh membawa 1001 tafsir dan tamsil. Baik mengusik, berseloroh, menyindir, memberi isyarat..semuanya tiba-tiba jadi indah dan membawa senyuman. Terima kasih Sita!

Lalu kubiarkan Sita terus berlagu..."Rindu menikan dek cinta Sita, Hilang resah hilang sisa Amarah, Bongkar akar bongkar mimpi Suralaya, Ajak menung di bawah panji Milwana, Apa tersemat di sebalik perintah..."

[nota gambar: usikanku buat seorang teman di pejabat]

LITTLE GIRL

While compiling a material for a friend who wishes to thank her father, I stumbled upon this "never-before-heard" song from YouTube. Simply titled "Little Child", it signify how a daughter (a child) is with 1001 questions and they see the world with true eyes.

The father tried to answer them with the best truest answers....and we don't have all the perfect answer. It is sad when we have to hide some disheartening facts just to protect them from the bitter reality....while a child start to learn that the world is all unjust and cruel.

The compilation is ready but it suddenly becomes a very sad affairs.

QARAT

KARAT: "Everyone must have been somebody's loved one once"

Bila sudah "berkarat" sebegini, entah siapa lagi yang mahu mengaku kawan apa lagi berganding berdamping.

Tinggallah si karat menumpang panas dipinggir pagar orang..."entah-entah esok lusa sampailah ajal" pujuknya pada hati. Tiada jalan ke hadapan lagi, cuma menghitung saat-saat itu.

Bisik pagar berkarat pada sang kucing "jangan khuatir, bila engkau pergi, kau akan masuk ke syurga kucing. Ku dengar di sana makananmu sedap-sedap dan tidak putus-putus. Tuhan akan menyayangiMU lebih dari Nabi Muhammad menjaga nenek moyang mu sekian lama".

"Aku belum ketentuan lagi nasibnya. Entah esok lusa dirembat sang penagih dadah lalu dijual, dilebur, dicat semula jadi cantik...untuk akhirnya berkarat kembali"