Thursday, August 5, 2010

GELORA DI HATI SARA...

Selepas sebuah siri Melayu lakonan Haleeda arahan Mior Hashim Manap kira-kira 10 tahun lalu, aku tidak terpanggil untuk mengikuti mana-mana siri soap opera Melayu. Dalam siri yang aku terlupa judulnya (lagu temanya Bunga-Bunga Cinta oleh Misha Omar), Haleeda tampil di dalam percubaan lakonan paling awalnya sebaik selepas perceraian dengan Azman Adnan.

Mengejutkan apabila lakonannya terlalu bersahaja dan terlalu baik untuk seorang yang tidak punyai asas lakonan atau theater. Kepasrahan wataknya mengikutkan "gila" suaminya mencari erti kebahagiaan di luar perkahwinan membuatkan aku jadi terlalu simpati. Suami itu pilihan ibu bapanya...Haleeda mempamerkan senyuman paling tawar bila menyembunyikan sengsara perkahwinannya. Itu Haleeda yang membawa kisah gadis kampungan yang ditolok banding dengan wanita-wanita elit kota.

Tapi bila aku tertonton "Gelora di Hati Sara", Fauziah Latif membawa "facade" tidak kurang sengsaranya tapi di sebalik watak seorang wanita peguam professional. Kebetulannya, seperti Haleeda, Gee baru berpisah dan Gelora di Hati Sara (siri 01) merupakan percubaan lakonan terawalnya. Sekali lagi, hasilnya adalah lakonan yang terlalu bersahaja dan terlalu baik. Sehingga pagi tadi, teringin sahaja aku bertanya siapa acting coach yang digunakannya?

Aku menyeka air mata di episod malam tadi bila Sara menarik ibunya keluar dari bilik tidur Sara yang telah dijajah madu mudanya....bila dia "silent scream" lalu mengutip buku-bukunya yang bersepah di bilik tamu...bila dia berdiri di antara ayah mertuanya (Rahim Razali) yang remuk dihamun ibunya...Masih ada kasih sayang di matanya. Masih dalam hormatnya pada ayah mertuanya yang bermati-mati mengangkat "tidak kurang sedikitpun kasih sayang kami pada Sara".

Dalam drama Haleeda, pada episod akhirnya, Mior Hashim Manap membuat babak penghabisan hanya dengan satu shot. SATU SHOT! Hanya satu camera yang digunakan untuk satu babak yang begitu panjang...bagi menyerlahkan keupayaan dan penghayatan pelakon-pelakonnya. Ini bukanlah sesuatu yang asing bila Mior Hashim Manap terbiasa dengan teknik theater sebegitu melalui filem-filem Rahim Razali terutamanya ABANG. Terlalu banyak babak yang bergerak di atas satu shot dan tidak hairan juga kerana semua pendokong wataknya adalah penggiat teater yang tersohor di zaman masing-masing.

Begitulah aku ditemukan dengan 2 kebetulan dalam jarak lebih 10 tahun:

  1. Haleeda & Fauziah Latif
  2. Rahim Razali
  3. Mior Hashim Manap serta;
  4. satu GELORA yang tidak pernah tua walau zaman berubah




No comments:

Post a Comment