Monday, December 6, 2010

Bila Sita Berlagu?



Lucu juga bila sesekali aku mengubah status Instant Messaging ku, ianya jadi bahan berbalas-balas tanya pula.

Terbaru, avatar nya kutukarkan kepada gambar Sita Dewi dalam bentuk bayangan wayang kulit lalu kunamakan status ku "Bila Sita Dewi Berlagu, Seri Rama Bergaru".

Tidakpun lama, bertalu-talu rakan-rakan mula bertanya: a) Si Sita menyanyi lagu apa?, b) Kenapa Si Sita perlu menyanyi?, c) Bagaimana lagu si Sita membuatkan Seri Rama gatal-gatal?, d) Apa jadi dengan si Seri Rama akhirnya? ....dan pelbagai lagi. Jawapan aku pelbagai dan mungkin berbeza-beza mengikut si penanya.

Jawabku sekali; Sita menyanyi lagu Iwan: "Memori Daun Keladi" [memomok lagu "Memori Daun Pisang"] dan kerana itu lagu itu "gatal-gatal" lalu terpalit ke Seri Rama.

Jawabku lagi; Sita menyanyi lagu "Langgam Pak Dogol" oleh M.Nasir; kerana itu Seri Rama yang sedang berperang "tergaru-garu" hatinya rindukan si Sita nan jauh.

Jawabku yang lain; Bila Seri Rama sudah mintak digaru (kerana gatal), manalah ada penawar lain selain tetap "digaru"..itu metafora mudah sebetulnya. Yang gatal harus digaru-garu.

Apapun, begitulah indahnya seloka di dalam bahasa. Kias yang mudah boleh membawa 1001 tafsir dan tamsil. Baik mengusik, berseloroh, menyindir, memberi isyarat..semuanya tiba-tiba jadi indah dan membawa senyuman. Terima kasih Sita!

Lalu kubiarkan Sita terus berlagu..."Rindu menikan dek cinta Sita, Hilang resah hilang sisa Amarah, Bongkar akar bongkar mimpi Suralaya, Ajak menung di bawah panji Milwana, Apa tersemat di sebalik perintah..."

[nota gambar: usikanku buat seorang teman di pejabat]

No comments:

Post a Comment