Monday, December 6, 2010

Nama ku JOKO!

Pelajar cemerlang selesa guna nota sendiri

KUALA LUMPUR: Menyediakan nota sendiri berbanding bergantung kepada nota disediakan pensyarah menjadi resepi kejayaan Suhendro Hardiansyah Sairun sehingga dinobatkan sebagai pelajar cemerlang keseluruhan pada majlis konvokesyen Kolej Universiti Teknologi Antarabangsa Twintech (Twintech) di sini, semalam.

Suhendro, 24, berkata dia lebih selesa merujuk kepada nota yang dibuat sendiri semasa di dalam bilik kuliah kerana ia dapat disediakan dalam bentuk lebih difahami.
“Semasa pensyarah memberi tunjuk ajar, saya akan menyalin apa yang diucapkannya berbanding merujuk kepada nota disediakan.


“Saya kemudian akan membuat nota yang lebih ringkas dan mudah difahami selepas membuat perbandingan antara nota yang disalin di bilik kuliah dengan nota disediakan pensyarah,” kata Sarjana Muda Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina dan Seni Bina itu.

Dia yang memperolehi purata gred kumulatif (CGPA) 3.91 berkata, dengan kaedah itu dia lebih faham serta mampu menyediakan nota yang menyeronokkan dengan cara sendiri.
Pelajar cemerlang Fakulti Perniagaan dan Kewangan, Suryani Tarnoh, 23, berkata keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang kurang memberangsangkan menjadi faktor utama untuk dia berusaha bersungguh-sungguh di Twintech.

“Saya amat berpuas hati kerana dapat menebus keputusan STPM dulu. Di sini, untuk memahami apa yang dipelajari saya akan membuat nota khusus dan sering bertanya pensyarah terutama ketika hampir peperiksaan,” katanya.
Pelajar dari Si Chuan, China, Lei Qian, 23, yang dinobat sebagai pelajar cemerlang Fakulti Muzik dan Seni Persembahan pula berkata, dia terpaksa berusaha keras kerana suasana pembelajaran yang berbeza antara Malaysia dan China.

“Saya perlu memperbaiki penggunaan bahasa Inggeris saya selain memahami kaedah pembelajaran di sini. Namun ia sesuatu yang menyeronokkan dan saya amat mencintai muzik,” katanya.

No comments:

Post a Comment