Friday, December 31, 2010

Joyride 2011



Tergaru-garu amat bila mata terpandang roda "Ferris Wheel" di kejauhan sudut di Shah Alam. Dalam kaki menekan minyak mencuba-cuba untuk tiba ke rumah dalam saki-baki minit-minit terakhir perlawanan bola sepak "final" pertama di Bukit Jalil, hati terusik dengan gambaran-gambaran "sarkis" yang old-school. Jagung mentega, pop-corn, cotton-candy dan banyak lagi.

Berhari-hari pula hasrat itu terpaksa kupendamkan sehinggalah malam Jumaat lalu, kucapai kamera lalu bergegas bersama keluarga kecil ku tiba di Shah Alam.

Sampai di pinggir Stadium Shah Alam itu, lega benar hati kerana tiba juga ke situ. Berpuluh-puluh pula orang mengusung camera DSLR yang ada di antaranya, lensanya sahaja sudah mencecah seperlapan harga sebuah kereta. Terus kurakam gambar "Ferris Wheel" sebelum mengintai ke daerah rumah hantu dan barisan permainan yang hampir pasti mengalahkan pelanggan...namun orang berbaris juga mencuba nasib atau mencuba-cuba menayang kemahiran di hadapan buah hati. Teringat bisik arwah Dr Arif (guru gamelanku) "kitapun pernah muda Cik Nasir" katanya menjeling nakal.

Segalanya "old-school" sebagai yang kubayangkan. Dari penjaga setiap permainan sehinggalah susunan dan tarikan-tarikannya. Kutemankan anakku bermain kapal terbang hidraulik. Yang menjaga "joyride" kami mengutip token, mengemaskan palang keselamatan dan menolak pesawat dengan rokok terkepit di bibir dan jemari.

Itulah warna-warna kegembiraan yang sudah hampir pupus dek arus kemodenan. Bila sesekali terpeluang melihat kembali kisah dan cara-cara yang lama, tersenyum puas pula sendirian sambil hati memujuk "taklah tua sangat aku!" kerana cara yang kita suka masih terpakai di masa kini walaupun sudah bergelar "antik". Aku balik dengan senyuman puas. Hampir-hampir 30 snap yang dapat aku sempurnakan...sambil mengurut-ngurut dahi (pening menaiki kapal hidraulik) dan memicit-micit pinggang (akibat penat berjalan)..."taklah tua sangat" sambil mata redup mengalah pada malam.

No comments:

Post a Comment