Tuesday, December 7, 2010

Gurindam Buat Ida



Sampai juga aku ke Baling. Tiba di sana, rasanya hampir sekampung sudah mengenali aku. nampak sangat IDA sudah berkisah tentang Cik Nasir. Segan pula aku dibuatnya. Hujan renyai dari awal sempadan Kedah sehinggalah tiba di Baling membuatkan sasaran tiba sebelum jam 12:00 sedikit tersasar. Tiba, aku terus dihidang makanan kampung. Terbuka sungguh selera bila terhidang ulam dan sambal belacan. Tak payah susah-susah berlauk serba mahal. Ikhlasnya terasa. Cukup terasa.

Perjalanan ke rumah IDA adalah satu kemestian yang aku azamkan. Aku dan IDA punya sesuatu yang di luar perhubungan seorang ketua dan rakan kerja. IDA membuat banyak "sakti" tanpa banyak merungut, menghabiskan sisa kerja yang bukanpun tanggungjawabnya dan mengajar aku tentang sabar yang disimpan kemas di dalam dada walaupun diinjak dan pijak oleh orang lain. Mungkin juga budak-budak aku ini segan kerana aku ini orang yang cukup berdiam bila diajak berkonfrantasi. Lalu mereka juga jadi lebih penyabar.

Perjalanan itu suatu perjalanan yang aku mestikan pada diriku. Dalam perjalanan itu aku mencari pelbagai makna malah menyoal diriku sendiri tentang seaneka tandatanya yang tidak dapat kuungkai di sini, di Kuala Lumpur. Tiada siapa yang faham rasanya;

"Hendak mati di hujung kuku, hendak berkubur di tapak tangan": begitulah "cinta" yang dialun di dalam lagu Gurindam Jiwa itu. Kusisip hadiah itu pada IDA kerana cintanya dan ASRI tidak mungkin dapat diukir dengan kata-kata. Dia baru memulakan perjalanan panjangnya.

Aku juga. Kita juga!

Ketika bersalaman untuk pulang, berat rasa hati. Terasa kemesraan itu jujur dan indah. Seorang makcik tua tiba-tiba menghulur tangan lalu bertanya "Encik Nasir dah nak balik? Tak tunggu esok ka?" tanyanya lagi. Aku tidak kenal dia. Aku hanya kenal IDA. Aku tersenyum lalu kuingat wajah tua itu.

No comments:

Post a Comment