Friday, June 18, 2010

Ballistic Friendly Reminder

Khutbah Jumaat di Masjid Qariah aku cukup mudah tapi dalam sekali menyentuh.

Pertama pembuka kata, kami ditegur tentang mentaliti penjajahan yang membunuh amalan kita perihal mengutamakan bulan Islam di dalam kira-kira kehidupan seharian. kata khatib, penjajah cukup getar kerana bulan Islam membawa terlalu banyak pengertian dan peristiwa yang akan segera membawa kita kembali kepada "akar" Islam....semudah itu!

Lalu khatib membawa keistimewaan bulan Rejab, bulan "solat" mula diwajibkan untuk Rasulullah dan umatnya. Khatib terus mambawa jemaah melihat bahawa solat adalah hadiah Allah paling istimewa untuk umat Muhammad (perihal khasiat kesihatannya, disiplin, ukhwah dan pelbagai).

Khatib sinis membawa analogi mudah " kalau ayah bawa kuih untuk anak-anak sebagai hadiah, lalu anak-anak membiarkan kuih terbiar begitu sahaja..sedihlah si ayah hadiahnya tidak dihargai anak-anak"...."namun kalau anak-anak berebut-berebut menjamah kuih yang dibawa, tentu ayah tersenyum bahawa ingatan dan hadiahnya disukai anak-anak". Allah menghadiahi solat tapi sejauh mana kita menikmati solat hadiah Ilahi.

Di awal khutbah, khatib hampit sahaja membuatkan aku ketawa. Kata khatib ada pelbagai orang dan disiplin solat masing-masing:

Ada yang cukup sempurna pada setiap waktu
Ada yang sekadar 2 waktu dari 5 sehari semalam
Ada yang sekali sehari
Seminggu sekali (hanya pada Jumaat...lantas masing-masing jemaah mula memandang-mandang jemaah di sebelahan)
Setahun sekali (hanya sembahyang raya)
Malah juga seumur hidup sekali (ketika dimandikan mayatnya) tambah khatib "itupun kalau mati...kalau tak mati, tak pernah solat langsung"

Lalu di mana solat kita? atau terasakah kita nikmat solat sebagaimana yang seharusnya kita rasai?

Khatib itu pastinya tidak mengeja teks khutbah, kata-katanya dibiar lepas di dalam telo kelantannya, cuma bila ayat Quran diselang-selinya, suaranya tiba-tiba cukup tegas kerana pengertiannya cukup keras (berpesan pada kebenaran). Itulah khutbah yang baik yang disampaikan, bukan yang sekadar dibaca.

Ada suatu khutbah suatu masa yang sekadar membawa sebuah cerita "fable" dan tidak sampai 10 minit, ianya berakhir tanpa apa-apa peringatan jelas. Jemaah pulang TETAPI berfikir sepanjang jalan pulang. Itu khutbah yang lebih hebat.

No comments:

Post a Comment