Saturday, June 26, 2010

Bila Fikiran Resah

Malam ini kutunggu dengan penuh "debaran". Kebanyakan teman dari kelas 85-89 telah ditemui setelah lebih 20 tahun dalam beberapa kesempatan sebelum ini. Namun malam ini akan mempertemukan "Senior" (kelas pertama yang asli), "super senior" (kelas tingkatan 4 yang diimport) serta para "junior" yang lain.

Sebaik tiba, dalam sangkaan bahawa orang tidak mungkin mengenali siapa aku, aku terus disapa bertalu-talu oleh para "senior". Usikan "kenal aku tak?" sambil menutup tanda nama di dada menjadi mainan di sepanjang malam. Banyak wajah yang terlalu serupa sejak dulu hingga ke malam ini namun tidak kurang yang berubah sama sekali. Saiznya, raut wajahnya, suaranya....

Malam itu terlalu pendek untuk mempertemukan walau sebahagianpun anggota "Manjoi". Bagi antara yang terawal meneroka bekas maktab perguruan Manjoi itu, keperitan dan kesederhanaan hidup sudah menjadi "middle name" di zaman itu namun InsyaALLAH...ramai yang menjadi "orang" sebagaimana terlihat pada malam ini.

Dalam kesempatan sebegini, lebih banyak cerita-cerita kecil yang bertukar-ganti. Bak kata Cikgu Ahmad " ini si Nasir yang selalu dengan dramanya...ada satu yang paling saya ingat" katanya mencari-cari judul kisah drama yang mungkin digemarinya: Mungkin "Gumantong"; kisah versi Bahasa Inggeris pahlawan Sarawak arahan Miss Tan, atau; Pasir Salak bila aku menjadi "anjing Company" atau; "the Bus Stop" arahan aku untuk rumah Bendahara atau; sketsa "controversy" yang aku hidangkan ketika lawatan Pengarah Pelajaran Perak. Teruk cikgu Ahmad Ismail dimarahi Guru Besar kerana sketsa itu sengaja aku larikan dari "suntingannya" ketika raptai ...dan hasilnya, malam itu penuh dengan kejutan. Yang mana sekalipun, ianya sesuatu yang mengharukan kerana selepas 20 tahun, ianya masih kekal di hatinya.

Ramai yang menyapa dengan wajah malu...ada cerita masing-masing yang sudah kulupa agaknya. Dalam usia 38-39 seperti kataku pada Zainal, "datanglah..mungkin ini kesempatan terakhir berjumpa kawan-kawan lama". Ramai yang bersalaman dengan genggaman seolah-olah enggan dilepaskan, ramai yang tanpa silu berpelukan tanda rindu yang teramat sangat..tapi semua kembali dengan sebentuk senyuman. Suatu senyuman kepuasan bahawa kita membuktikan kita sudah jadi "orang".

No comments:

Post a Comment