Friday, June 18, 2010

Biar Fajar Restuimu

Satu tugasan yang paling tidak kusenangi...berperang di mahkamah. Baik bertikam lidah sendiri atau menemani askar syarikat mempertahankan kepentingan masing-masing.

Suatu pagi, aku perlu siap siaga berdiri di sebuah mahkamah terpencil nun di ceruk mana. FAJAR belumpun naik penuh namun kerana perlu mengejar waktu aku diarah muncul di pintu mahkamah, aku sudah mundar mandir di situ.

Dalam samar-samar pagi itu, terlihat sekurang-kurang 8 baris dengan sekurang-kurangnya 30 orang di setiap barisan sedang duduk bertinggung di atas jalan tar di hadapan mahkamah. Wajah masing-masing cukup sugul. Perlahan-lahan juga terlihat pergelangan tangan masing-masing terikat antara satu sama lain dengan seutas "chord" getah.

Mereka tertangkap malam tadi entah di mana dan sedang menunggu giliran dipanggil untuk sebutan kes. Di sebelah kanan, masing-masing dengan seragam biru...entah kilang mana tidak jelas pula lambang dan namanya. Di pintu hadapan sebuah lagi lori imigresen berhenti. 2 barisan lagi turun dari dalam lori berjaring kawat itu. Tangganya terlalu curam dan dengan tangan yang terikat berdua-dua, hampir saja mereka terjatuh bila melangkah turun. Wajah masing-masing sugul..entah ada amarah... entah ada pasrah...entah petang itu juga mereka akan dikembalikan ke negara masing-masing.

4 tahanan bangun dan berjalan ke seberang bangunan, seorang berpakaian biru gelap menanti. Giliran "buang air". "bagaimana pula nak buang air dengan tangan terikat berdua-dua...ah! dalam darurat sebegini, apalah yang mahu dimalukan"

Aku yang baru tiba sudah basah kuyup dengan hawa pagi itu. Mereka sudah bersila di situ semenjak entah jam berapa? Aku yang baru tiba sudah bergelodak perut minta diisi, mereka entah jam berapa menjamah makan malam?

"Kes A 334 336" tiba-tiba jerkah seorang wanita berwajah bengis. Aku tersentak dan segera bingkas ke bilik bicara. Undang-undang rupanya bangun seawal fajar dan tidak melihat memilih orang. Kutinggalkan pemandangan yang sulit di jalan tar itu lalu menghela nafas untuk mencari keadilan di tanah sendiri. Entahkan menang, entahkan kalah?

Kalau aku di negara mereka, mungkinkah aku juga sedang bersila di jalan tar sebegitu? Tanyakan saja pada Fajar yang sedang garang itu...

No comments:

Post a Comment