Wednesday, July 28, 2010

Biar Fikir Rasional

PARADOX

Hari ini adalah antara hari paling padat. Aku terpaksa menemuduga 4 calon dalam jangkamasa kurang 2 jam. Ada 2 calon yang terpaksa kutemuduga serentak, di tempat yang berbeza dengan set demonstrasi dan ujian yang berbeza.

Namun satu yang terlalu menyentuh hatiku...dalam pada kita sibuk berbahas tentang lambang salib di pakaian, tongkat syaitan di logo pasukan bola kegemaran dan entah apa-apa lagi, perkara yang lebih asas diperkotak-katikkan di bawah lubang hidung sendiri.

Tanyaku pada salah seorang calon " apa yang kurang menarik di tempat kerja awak sekarang?" wanita yang tadinya banyak cakap dan lincah tiba-tiba merenung satu sudut di luar kawasan mukaku...kosong pandangannya sebelum menjawab "kami tidak dibenarkan sembahyang....tak ada tempat sembahyangpun...dan tidak diberi masa untuk sembahyang langsung!".

Tinggi suara aku bertanya semula "habis awak sembahyang macamana?" jawabnya " saya curi-curi sembahyang, kami cari sudut dan ceruk yang tak dapat CCTV capture dan sembahyang bila-bila dapat lari untuk toilet break". Aku tidak sedih. Aku juga kurang terkejut. Tetapi aku tersentak perihal betapa bangsatnya soal ini diremehkan oleh majikan walaupun negara ini megah melaungkan Islam sebagai agama rasmi.

soal-jawabku tidak habis di situ.

Aku berlari pula ke temuduga lain di tingkat yang berbeza. Hampir selesai temuduga itu, panel bertanya tentang formula waktu kerja di tempat kerja calon yang ujarnya 9 1/2 jam. Kataku lurus "apa pasal pelik? Akta menyatakan 8 jam atau 9 jam. Mana datang 1/2 jam lagi?". Jawabnya " 1 1/2 jam adalah kiraan lunch break, toilet break dan solat break. 1 jam untuk makan, selebihnya untuk ke toilet dan solat".

Kami mengira-ngira semula 1/2 jam untuk solat dan ke tandas. MUSTAHIL. Tanyaku lagi "kalau you exceed the given time?" jawabnya "penalised with warning letter even for 1 minute". Tanyaku lagi "Habis, what is your solution?" dan jawabnya "saya tanya ustaz, ustaz kata boleh Jama'" dan aku terus menempelak "fatwa" nya. "Di mana yang awak bersifat musafir atau mudharatnya?". Dan rumahnya hanya di seberang pejabat...Dan syarikat yang dimaksudkannya bukan kecil-kecil anak malah bertaraf "antarabangsa".

Sudah lama aku mendengar kebiadaban sebegini. Khabarnya, di Pulau Pinang terutamanya di kilang-kilang, Solat Jumaat tidak dibenarkan. Kata sahabatku yang kini sudah bergelar Dr pun, "yang benar-benar takut tuhan, kami bergilir-gilir setiap minggu kedua untuk menyusup pergi sembahyang jemaah".

Soalku:
"kenapa kisah ini senyap dan disenyapkan?"
"kenapa begitu bangsat kita dilayan walau di tanahair sendiri?"

Teringat pula amalan seorang rakan tabligh yang sentiasa membawa jam "randik" di kocek bajunya. Setiap kali ke tandas, solat atau berehat, jam itu akan merekodkan waktu yang terluang di luar waktu "penggajian". Setiap minit yang terbazir, itulah minit yang akan dilambatkannya bila sampai waktu pulang. Persis kisah salah seorang sahabat Rasulullah yang memadamkan pelita minyak bila rakannya mengajak berbicara soal peribadi. katanya "minyak ini minyak dari rakyat...tidak wajar aku membakarnya untuk hal peribadi".

Samada kita harus membetulkan diri sendiri atau meletakkan "adab" itu di tempatnya...sesuatu perlu dilakukan.

Esok aku akan mengadap temuduga lagi...

No comments:

Post a Comment