Thursday, July 29, 2010

TEPIS TOLAK TERPISTOL LAKTEPIS

Dalam pada khusyuk mendengar khutbah Jumaat, aku cukup tidak gemar ditepis-tepis oleh jemaah yang lambat tiba tapi tetap mahu ke hadapan bersolat sunat. Ada yang menepis lembut, ada yang menampar kasar, ada yang menepis dengan hujung kaki, ada yang menepis dengan hanya berdiri di tepi kita, kononnya mahu kita mengalih punggung memberikan dia laluan.

Yang menepis, mungkin pada mereka tidak salah kerana mereka mengejutkan orang yang tertidur ketika khutbah. Tapi bagi aku, kalau mahu ke saf hadapan, datanglah awal dan duduklah di barisan terutama. Menghayati khutbah juga perlukan keselesaan. kalau sudah berhimpit-himpit sambil hati menyumpah seranah si penepis yang "menyempit" di celah-celah kita yang hadir lebih awal, apa maknanya. Bila sudah terlambat, duduklah di barisan mana-mana yang masih punya kekosongan atau berdiri sahaja sementara menanti khutbah selesai. Dalam agama, jemaah yang sudah tiba awal tidak perlupun memberikan si lewat laluan atau keutamaan.

Teringat pula bila di sekolah dulu, ada sipenepis yang terlalu popular dan kerap sangat "menyempit" di saat akhir. Ada pula yang perasan perihal peel peliknya itu lalu hampir sahaja keduanya bertumbuk ketika imam sudah mengangkat takbir.

Mahu pahala "first class" datanglah awal dan buatlah perangai kelas pertama. Bila lewat hormatilah bahu dan peha jemaah yang sudah awal menempah tempat yang selesa untuk menghayati khutbah. Jangan kerana kita tidak kisahkan khutbah, orang lain yang khusyuk pula terpaksa menolak pahala akibat mencarut.

Kisah khutbah kami hari ini tentang perajurit, pejuang Islam untuk beratus perang di zaman Rasulullah, usaha membina Madinah dalam dalam 10 tahun dan penghargaan kita pada pejuang bangsa dan agama di negara sendiri.

Aku percaya Datuk Bahaman atau Mat Kilau datang awal ke masjid dan tidak perlu menepis untuk ke saf hadapan.

No comments:

Post a Comment